Isnin, April 27, 2009

SIAPKAN JALAN, JIKA TIDAK LAPOR KE SPRM

Siapkan Jalan Chong Tin Vun, Jika Tidak Lapor Ke SPRM

20070516-MP_ABDUL_GHAFUR_SALLEH TAWAU 27 April (Bernama) -- Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh, yang berang melihat Jalan Chong Tin Vun sejauh 1.5 kilometer tergendala selama 18 bulan, berkata beliau akan membangkitkan perkara itu di Parlimen dan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika melawat kawasan pembinaan, beliau berkata jalan raya itu yang merupakan satu daripada jalan utama di bandar Tawau, sepatutnya siap sebelum pilihan raya umum ke-12 lagi.

"Pelbagai lapisan masyarakat menghubungi kita mengenai jalan yang pendek dan tidak siap-siap itu, seolah-olah kerajaan Barisan Nasional (BN) tiada peruntukan, sedangkan pembiayaan sudah diberi.

"Dalam masa tiga bulan, jika tiada perubahan, kita akan bawa perkara ini ke Parlimen dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan tiga jabatan dan agensi kerajaan bertanggungjawab dalam projek kerajaan itu.

Jika kelewatan itu berpunca daripada kontraktor, katanya pihak berkenaan perlu menggantikannya dengan kontraktor lebih bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta polis supaya memberi perhatian serius mengenai perkembangan dan penularan kes perjudian haram di sekitar bandar Tawau kebelakangan ini.

Abdul Ghapur berkata beliau banyak menerima laporan berhubung kewujudan premis perjudian beroperasi tanpa lesen di bandar itu.

________________________

Adakah senerio ini ada persamaan dengan masaalah jalanraya yang di blogkan oleh blogger tapayas?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan