Rabu, April 08, 2009

SEMAKAN SEMULA AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) - SYED HAMID

ISA: Syed Hamid Saran Beberapa Perkara Diberi Perhatian

insidepix1 KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyarankan semakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut melibatkan kajian mengenai kuasa polis untuk menahan dan mewujudkan pegawai khas untuk kes-kes ISA.

"Polis ada kuasa menahan 60 hari, ini susah untuk dicabar. Mungkin perkara ini boleh dikaji, adakah ini terlalu panjang atau kalau panjang (adakah perlu) dirujuk pada mahkamah," katanya kepada Bernama di kediamannya di Bukit Damansara di sini Selasa.

Katanya adalah juga penting untuk melihat semula takrifan keselamatan negara dan ketenteraman awam, dua elemen penting yang selalunya menjadi asas kepada penahanan seseorang di bawah ISA.

Beliau berkata apabila kerajaan membuat kajian terhadap ISA, ia perlu juga mengkaji semula dua lagi undang-undang pencegahan iaitu Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan Ordinan Darurat 1969.

Syed Hamid berkata pada pandangannya yang paling penting bukan persoalan untuk menghapuskan ISA tetapi "persoalan yang timbul ialah kekhuatiran terhadap salah guna kuasa sama ada pada polis ataupun pada menteri."

"Saya fikir kita kena bebaskan proses-proses ini tapi bukan menjadi niat dan tujuan kerajaan untuk menghapuskan ISA," katanya.

"...bijak untuk Najib mengangkat perkara itu untuk dijadikan bahan perbincangan semula...seorang pemimpin yang dekatkan hati dia pada permintaan rakyat. Bermakna rakyat boleh terlibat, boleh memberi pandangan tapi pada masa yang sama ia mesti membina. Bukan cuba mencari ruang dan peluang politik untuk menyerang".

"Kita dalam satu suasana tidak boleh berjanji tanpa tepatinya. Rakyat akan ukur dan hukum kita. Itu adalah satu komitmen dan komitmen ini adalah serius Kalau jadi janji-janji kosong, kita akan dihukum teruk dalam pilihan raya akan datang," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan