KOTA KINABALU, 8 April (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta kerajaan Persekutuan supaya memberi pengiktirafan sewajarnya kepada penduduk tempatan sebagai "bangsa Bumiputera Sabah" dan bukan dikategorikan sebagai "lain-lain bangsa" dalam semua urusan atau borang pentadbiran kerajaan.
Ketua Penerangan PBS Johnny Mositun berkata kebanyakan borang pentadbiran kerajaan sekarang hanya meletakkan kategori bangsa Melayu, Cina dan India manakala bangsa lain di Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai "lain-lain bangsa".
"PBS berpendapat bahawa sudah tiba masanya bangsa Bumiputera Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai satu daripada rumpun bangsa utama di Malaysia.
"Di Sabah, terdapat lebih 30 suku kaum seperti Kadazandusun, Murut, Bajau dan Rungus tetapi memadailah kalau rumpun bangsa ini dikategorikan sebagai bangsa Bumiputera Sabah dan bukan 'lain-lain bangsa'," katanya kepada Bernama di sini Rabu.
Mositun, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata rakyat Sabah mahu melihat keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pentadbiran negara.
Pemuda PBS pula mengecam pihak yang bertanggungjawab membakar bendera Sabah di Lahad Datu, Sabtu, lepas.
Ketuanya Datuk Jahid Jahim berkata tindakan undang-undang wajar diambil terhadap mereka yang terlibat dalam insiden itu.
Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, 12 orang termasuk seorang yang mendakwa dirinya keturunan Sultan Sulu, ditahan kerana membakar enam bendera negeri di hadapan pasar pekan Lahat Datu dan di sebuah pasar raya di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan