Sabtu, Disember 01, 2012

PETRONAS NAFI ADA HUTANG ROYALTI

PETRONAS nafi ada hutang royalti

 Shamsul Azhar  mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS  di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Chan Wai Yew

Kuala Lumpur 30/11/2012: PETRONAS semalam menafikan tuduhan mereka ada berhutang royalti minyak kepada beberapa negeri.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata isu bayaran royalti minyak kepada negeri pengeluar sumber itu terletak kepada kerajaan persekutuan.

“Sebagai sebuah syarikat, tanggungjawab kami adalah menguruskan sumber tenaga dan bukannya menyebarkan kekayaan,”

katanya pada sidang media semasa mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS di sini, semalam.

Kita perlu memberi tumpuan untuk melebarkan bahagian hasil, bukannya berebut mendapatkan bahagian yang lebih besar untuk hasil yang semakin mengecil," Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Ketua Eksekutif PETRONAS

Shamsul Azhar berkata, PETRONAS membayar 61 peratus keuntungannya dalam bentuk dividen kepada kerajaan persekutuan bagi tahun kewangan 2011 dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding purata 38 peratus yang dibuat syarikat global lain.

Berikutan itu, katanya, desakan sesetengah pihak yang mahukan royalti minyak lebih tinggi kepada negeri pengeluar minyak adalah tidak wajar.

“Kita perlu memberi tumpuan untuk melebarkan bahagian hasil, bukannya berebut mendapatkan bahagian yang lebih besar untuk hasil yang semakin mengecil,” katanya menyifatkan desakan sedemikian sesuatu yang ‘bertentangan dengan produktiviti’.

Royalti tinggi beri impak negatif

Pembangkang sebelum ini berikrar untuk meningkatkan royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak kepada 20 peratus berbanding lima peratus ketika ini.

Shamsul Azhar berkata, bayaran royalti minyak yang lebih tinggi akan memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada negara dan syarikat itu sendiri.

Tegasnya, usaha PETRONAS untuk membina industri minyak dan gas juga mendapat kesan negatif daripada cadangan yang tidak wajar itu.

Beliau berkata, langkah menambah royalti minyak akan meletakkan pelaburan modal PETRONAS yang berjumlah RM300 bilion untuk lima tahun akan datang dalam risiko besar.

Industri minyak, gas dan tenaga menyumbang 20 peratus kepada KDNK Malaysia tahun lalu.

Pada masa ini, PETRONAS mengemukakan polisi dividen baru yang membolehkannya menetapkan kadar bayaran tahunan kepada kerajaan sebanyak 30 peratus daripada keuntungannya, berbanding kadar rata RM28 bilion yang dibayarnya ketika ini.

  • Dalam sembilan bulan 2012, keuntungan bersih PETRONAS turun 4.7 peratus kepada RM50.3 bilion berbanding RM52.8 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
  • Bayaran dividen yang lebih rendah kepada kerajaan akan membolehkannya menyimpan wang untuk dilaburkan semula dalam kegiatan penerokaan minyak dan gas global.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan