Isnin, November 26, 2012

“SAYA CUMA JANGKAKAN KITA KALAH 1-0 ATAU SERI DENGAN SINGAPURA,” - RAJAGOBAL

Harimau lembik!

Penyerang Malaysia, Safee Sali
dihalang pertahanan Singapura
pada saingan Kumpulan B Piala
Suzuki di Stadium Nasional Bukit
Jalil malam tadi. [ YAZIT RAZALI/ BH ]Penyerang Malaysia, Safee Sali dihalang pertahanan Singapura pada saingan Kumpulan B Piala Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. [ YAZIT RAZALI/ BH ]

Kuala Lumpur 26/11/2012: Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menjadi sasaran kemarahan Datuk K Rajagobal selepas skuad kendaliannya tumbang kepada Singapura 3-0 pada aksi pertama Kumpulan B Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pengendali Harimau Malaya itu menegaskan kesilapan Apek yang gagal menumbuk keluar bola dengan kemas hingga menyebabkan kapten Singapura Shahril Ishak menjadikan kedudukan 2-0 pada babak pertama, menyebabkan moral pasukan merudum tetapi memuji kebangkitan yang ditunjukkan pada separuh masa kedua.

“Dia (Khairul Fahmi) membuat kesilapan dan memberi kesan kepada moral pemain... sejujurnya saya tidak sangka kita akan tewas dengan keputusan malam ini (malam tadi).

“Saya cuma jangkakan kita kalah 1-0 atau seri dengan Singapura,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Tiga gol skuad Singapura dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta pemain naturalisasi dari Bosnia, Aleksandar Duric pada minit ke-75.

Mengulas lanjut, Rajagobal berkata, keputusan tersebut memberikan kesukaran kepada mereka untuk mencari mata bagi melepasi peringkat kumpulan.

"Kita harus menempuhi jalan sukar selepas ini dan suka atau tidak, kita perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Singapura Radojko Avramovic berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan berharap skuadnya dapat terus mengekalkan momentum dalam menentang Indonesia Rabu ini dan Laos pada 1 Disember ini.

"Ini adalah permulaan baik dan saya tabik anak buah saya atas usaha cemerlang mereka. Kadang-kadang kami bernasib baik untuk menghasilkan jaringan dan adakala sebaliknya," katanya.

Mengulas pertemuan antara Laos dan Indonesia sebelum ini, Avramovic berkata beliau terkejut dengan prestasi Laos yang berjaya mengikat lawannya 2-2.

"Secara umum, Laos mengejutkan saya. Saya percaya mereka datang untuk memenangi semua perlawanan dan tenaga yang ditunjukkan oleh Laos pada perlawanan pembukaan adalah hebat," katanya.

Malaysia, selaku juara bertahan akan menentang Laos Rabu ini sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia pada 1 Disember ini.

----------------------

Peminat: Harimau Malaya memalukan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan