Khamis, Oktober 04, 2012

BUDAK PEREMPUAN DILANGGAR LARI DISANGKA ANJING

Budak perempuan dilanggar lari disangka anjing

KENINGAU 4/10/2012: Seorang lelaki yang menyangka sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh seekor anjing sebaik terdengar dentuman kuat tergamam mendapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Keningau-Apin-Apin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, kanak-kanak terbabit, Nurliza Azuray, 9, diseret hampir 10 meter sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Seorang saksi mahu dikenali sebagai Isa, 30, berkata ketika kejadian dia menunggu bas di tepi jalan sebelum terdengar dentuman.

“Saya berada kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan menyangka kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser merempuh seekor anjing yang melintas jalan.

“Namun, saya hampir pitam apabila melihat mangsa adalah kanak-kanak dan diheret kira-kira 10 meter sebelum kenderaan itu berhenti, bergerak ke kiri sedikit lalu memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Katanya, sejurus selepas itu, dia bergegas mendapatkan mangsa dan mendapati kanak-kanak itu berlumuran darah sebelum tidak bergerak lagi.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantu membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Robert Solisip @ David mengesahkan kejadian dan mangsa maut sebaik tiba di hospital.

“Pemandu terbabit, warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya, tetapi akhirnya menyerah diri beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin.

“Pemandu terbabit iaitu warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya tetapi akhirnya menyerah diri di balai polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan