Jumaat, Mac 29, 2013

PERTINGKAT RISIKAN BANTERAS TALI BARUT SALUR DANA KEPADA PENGGANAS

Pertingkat Risikan Banteras Tali Barut Salur Dana Kepada Pengganas

KUALA LUMPUR 28/03/2013: Polis disaran meningkatkan risikan bagi membanteras tali barut yang dikaitkan dengan penyaluran dana kepada kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata sekiranya pengiriman wang itu dilakukan warga Malaysia, maka mereka dikategorikan sebagai pembelot dan wajar dilucutkan kerakyatan serta dihukum penjara seumur hidup atau mati mandatori.

"Bagi saya, polis perlu tingkatkan tahap risikan mereka supaya kita dapat hentikan kegiatan ini,"

katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam berkata polis mengesan berlaku pengiriman wang ke Pulau Jolo di selatan Filipina oleh beberapa individu dari Sandakan dan Semporna, Sabah bertujuan membiayai kumpulan pengganas di sana.

"Namun, sekiranya pihak terlibat bukan warga negara ini, maka pendakwaaan perlu dilakukan di sini ikut lunas perundangan kita," kata Akhbar.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya pula berkata warga tempatan yang dikenal pasti menjadi tali barut atau menyalurkan dana kepada pengganas dianggap sebagai ancaman serius kepada negara dan wajar dilucutkan kewarganegaraan.

"Polis perlu jalankan siasatan daripada pelbagai aspek dan ambil tindakan tegas. Siasatan juga perlu dijalankan dari segi sama ada ia ada kaitan dengan pembabitan parti politik dan kita tidak harus berkompromi dengan mana-mana pihak," tegasnya.

Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar berpendapat individu yang dikenal pasti menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan itu adalah pengkhianat agama, bangsa dan negara.

"Saya mencadangkan polis dari Cawangan Khas mengenal pasti siapa dalang ini serta mengumpulkan seberapa banyak bukti yang mungkin," katanya kepada pemberita di luar perasmian Sidang Kemuncak Sumber Manusia Kebangsaan di sini, Rabu.

Beliau turut menyokong usaha menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah untuk mengetahui siapa sebenarnya perancang utama.

---------------

Polis Sahkan Datu Amir Bahar Hushin Kiram Ditahan Di Semporna

Tiada ulasan:

Catat Ulasan