Selasa, Januari 01, 2013

GAJI MINIMUM: MAJIKAN BOLEH STRUKTUR SEMULA GAJI PEKERJA

Gaji minimum: Majikan boleh struktur semula gaji pekerja

KUALA LUMPUR 29/12/2012-  Majikan boleh menstruktur semula gaji pekerja dengan menyerap elaun tertentu menjadi sebahagian daripada gaji pokok bagi melaksanakan gaji minimum, kata Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara T.Shanmugam.

Beliau berkata, majikan boleh melakukan penstrukturan semula gaji itu selepas berunding dengan pekerja-pekerja.

Penstrukturan semula gaji hanya boleh dilakukan sekali sahaja sebelum tarikh perintah tersebut dikuatkuasa, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Penstrukturan semula gaji hanya melibatkan bayaran-bayaran tunai pada waktu kerja biasa sebagaimana dalam tafsiran 'upah' di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] atau Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76]," katanya.

Shanmugam berkata, bayaran lain yang tidak termasuk dalam tafsiran upah di bawah akta-akta tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan penstrukturan semula gaji.

Antaranya bayaran kemudahan tempat tinggal, nilai penyediaan makanan, elektrik, air atau kemudahan perubatan, elaun perjalanan atau nilai konsesi perjalanan serta bayaran bonus kepada pekerja.

  • Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung Malaysia, manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
  • Dasar gaji minimum akan dilaksanakan pada 1 Januari ini kepada semua majikan besar dan majikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).
  • Tarikh pematuhan perintah gaji minimum bagi majikan-majikan mikro yang menggaji kurang daripada lima pekerja pula ialah pada 1 Julai tahun depan.

Shanmugam berkata majikan mikro boleh memohon penundaan tarikh pelaksanaan dengan alasan dan justikasi yang kukuh kepada Urus Setia Majlis Perundingan Gaji Negara dengan surat permohonan hendaklah diterima urus setia selewat-lewatnya 1 April 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan