Selasa, Januari 01, 2013

GAJI MINIMUM - MAJIKAN TIDAK BOLEH SERAP ELAUN JADI GAJI POKOK

Majikan Tidak Boleh Serap Elaun Jadi Gaji Pokok

KUALA LUMPUR 29/12/2012– Majikan tidak dibenarkan menyerap elaun tertentu seperti penyediaan kemudahan tempat tinggal, kemudahan perubatan, elaun perjalanan dan bonus sebagai gaji pokok pekerja berikutan pelaksanaan gaji minimum pada 1 Januari ini.

Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), T.Shanmugam berkata, majikan juga tidak dibenarkan menyerap elaun penyediaan makanan, elektrik dan air atau nilai konsesi perjalanan untuk tujuan itu.

“Majikan selepas berunding dengan pekerja boleh menstruktur semula gaji dengan menyerap elaun tertentu untuk menjadi sebahagian gaji pokok, tetapi penstrukturan semula ini hanya sekali sahaja sebelum tarikh kuatkuasa dan hanya melibatkan bayaran tunai pada waktu kerja biasa berdasarkan tafsiran “upah” di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] atau Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76].

“Apa-apa bayaran lain yang tidak termasuk dalam tafsiran “upah” di bawah akta tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan penstrukturan semula gaji,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Shanmugam berkata, pihak yang memerlukan nasihat dan pandangan lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Urus Setia MPGN di talian 03-8886 5605/ 5156 atau menghantar emel kepada mpgn@mohr.gov.my.

Maklumat juga boleh diperoleh atau disalurkan kepada pegawai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di talian 03-8886 5192, Jabatan Tenaga Kerja Sabah di talian 088-238755/233820/237258 dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak di talian 082-242261.

Mengulas lanjut, katanya, dasar gaji minimum akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun hadapan kepada semua majikan besar dan majikan yang di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

Menurutnya, majikan yang telah memperoleh kelulusan penundaan seperti yang disenaraikan dalam Warta Kerajaan P.U(A) 470/2012 boleh didapati di laman web www.mohr.gov.my atau www.federal gazette.agc.gov.my.

Manakala, katanya, majikan mikro yang mempunyai kurang lima pekerja, tarikh pematuhan kepada Perintah Gaji Minimum 2012 adalah pada 1 Julai 2013.

“Bagi kategori majikan ini, mereka boleh memohon penundaan tarikh pelaksanaan ini dengan alasan dan justifikasi yang kukuh kepada Urus Setia MPGN,” katanya.

----------------------

GARIS PANDUAN MAJLIS PERUNDINGAN GAJI NEGARA MENGENAI KAEDAH PELAKSANAAN PERINTAH GAJI MINIMUM 2012

Ordinan Buruh (Sabah Bab. 67) Pindaan 2005

Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia 2008 - Edisi 3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan