Isnin, Disember 17, 2012

RAKYAT PERLU SEMANGAT ‘SUKA BERTANYA’ ELAK KEKELIRUAN

Rakyat perlu maklumat tepat elak keliru: Ellron

KENINGAU 14/12/2012: Rakyat perlu diberikan maklumat yang tepat bagi mengelakkan daripada timbulnya sebarang kekeliruan mengenai dengan dasar kerajaan yang sebenarnya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, berkata, sebarang maklumat yang salah boleh mewujudkan persepsi berbeza terhadap apa sahaja niat baik kerajaan.

“Penyampaian maklumat yang salah boleh mewujudkan persepsi serta spekulasi yang negatif di kalangan rakyat sedangkan ianya hanya ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik pihak tidak bertanggungjawab.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban setiap kakitangan agensi kerajaan bagi memastikan segala maklumat terpesong di luar sana diperjelaskan dengan sebaik yang mungkin,” tegas beliau.

Ellron berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam Majlis Bersama Agensi Kerajaan Anjuran Kemas Nabawan yang diadakan di Dewan Komuniti Pagalungan Ansip semalam.

Sementara itu beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bahagian Sook menambah salah satu kekeliruan yang jelas berlaku pada masa kini ialah berkaitan dengan isu Geran Komunal.

“Geran Komunal, misalnya, telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat. Geran ini sama dengan geran NT, di mana, ia boleh diwarisi dan dipegang selamanya oleh rakyat.

“Bukanlah seperti apa yang telah dinyatakan oleh pihak tertentu kononnya ia bertujuan untuk menindas rakyat. Isu ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk rakyat yang telah diputarbelitkan,” jelas beliau.

Justeru, Ellron menyeru kepada rakyat agar melahirkan semangat ‘Suka Bertanya’ jika timbul kekeliruan yang boleh memporak perandakan keadaan yang sudah sedia aman dan damai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Agensi Kemas Nabawan atas usaha yang berterusan selama ini untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dalam kawasan Sook.

Beliau turut menggesa agar usaha sedemikian bukan sahaja diteruskan oleh Kemas, malahan menjadi satu contoh yang baik kepada jabatan-jabatan lain untuk dipraktikkan demi keharmonian masyarakat dan Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan