Khamis, Disember 06, 2012

PENEMBUSAN JALUR LEBAR DI SABAH KINI MENCAPAI 34 PERATUS

Penembusan jalur lebar di Sabah kini menapai 34 peratus

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Penembusan jalur lebar di Sabah sehingga Oktober lepas telah mencatat kadar penembusan 34 peratus, dan ini berdasarkan kepada nisbah jumlah isi rumah yang terdapat di negeri itu.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) jika berdasarkan laporanBorneo Post pada Julai lepas yang menyatakan bahawa 37 peratus daripada penduduk Sabah merupakan pendatang asing, dan jika faktor ini diambil kira, kadar penembusan jalur lebar di negeri itu boleh menunjukkan peratusan yang lebih tinggi sehingga 47 peratus.

Kadar penembusan jalur lebar meningkat di negeri Sabah iaitu dari 4.5 peratus pada 2006, 14.5 peratus pada 2009 dan 33 peratus pada 2011, atas bantuan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang dua tahun tersebut, menurut SKMM dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut SKMM bagi memperluaskan capaian jalur lebar di kawasan pedalaman di negeri itu dan juga di Sarawak, kerajaan akan melaksanakan Projek Rangkaian Teras Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP) yag bertujuan meluaskan rangkaian teras berasaskan fiber di kedua-dua negeri itu.

“Bagi Sabah, sebanyak 54 sambungan fiber dikenal pasti dan anggaran kos yang terlibat ialah RM133 juta,” katanya.

Menurut SKMM, melalui projek ini, capaian jalur lebar di kawasan pedalaman dapat diperluaskan dan menarik lebih ramai penyedia perkhidmatan untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada pengguna di Sabah.

Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) mula diperkenalkan di Sabah pada tahun ini dan satu ibu sawat sedang dalam pelaksanaan dan tujuh ibu sawat tambahan dikenal pasti untuk dinaik taraf menjadi ibu sawat jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Dianggarkan 22 ribu port akan disediakan,” katanya. Selain itu, liputan perkhidmatan 3G dan WiMAX akan terus ditingkatkan oleh pemberi perkhidmatan secara komersil sehingga mencapai lebih dari 75 peratus liputan di kawasan berpenduduk, tambahnya.

SKMM juga berkata satu skim ‘clawback’ diwujudkan bagi mendorong pemberi perkhidmatan untuk meluaskan liputan di negeri-negeri tertentu termasuk Sabah.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah skim ini ialah pelaksanaan Pusat Internet 1Malaysia, KTW dan perluasan liputan melalui teknologi baru seperti teknologi nano dan femto,” katanya.

Menurut SKMM, dari segi liputan selular, tambahan 75 menara baru akan dibangunkan pada 2012 hingga 2013 dan ini dijangka menggunakan peruntukkan sebanyak RM105 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan lebih kurang 400 menara dibina dari 2006 hingga 2013 di bawah Program Time 2 dan Time 3,” menurutnya. SKMM berkata di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) tahun ini, program seperti program Kampung Tanpa Wayar (KTW), pemberian komputer 1Malaysia dan pembinaan menara akan diteruskan mengikut perancangan.

Pelaksanaan Kampung Tanpa Wayar sehingga kini merangkumi 400 kampung dan  inisiatif ini menyumbang kepada tiga peratus liputan jalur lebar isi rumah di Sabah.

“Jumlah keseluruhan KTW yang akan diwujudkan ialah 500 pusat KTW dengan anggaran kos keseluruhan RM37 juta,” katanya.

Menurut SKMM, program pemberian komputer 1Malaysia juga akan diteruskan dengan pertambahan sebanyak 80,000 unit.

“Berdasarkan kepada kejayaan program ini, peruntukan tambahan diwujudkan bagi membantu meningkatkan pemilikan jalur lebar terutama di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

------------------

Penembusan Jalur Lebar Di Sabah Kini Mencapai 34 Peratus

Maxis to provide 4G services in Sabah, Sarawak next year

Sabah Yakin Capai Sasaran NBI Tahun Depan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan