Sabtu, Disember 15, 2012

PEKERJA WARGA ASING DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI KERANA MEMBUNUH

Pekerja ladang akibatkan kematian mandur dihukum gantung sampai mati

SANDAKAN 13/12/2012: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pekerja ladang atas pertuduhan kerana menyebabkan kematian mandurnya pada tahun lepas.

Hukuman dijatuhi oleh Hakim Supang Lian setelah mendengar pengakuan bersalah daripada tertuduh, Zulkifli Majinji, 45, yang merupakan seorang warga Filipina dan tidak mempunyai keterangan diri.

Dia dituduh menyebabkan kematian Nor Bangsa Amir Bangsa, 38, lebih kurang jam 3.30 petang pada 24 Julai tahun lepas di rumah mangsa di perumahan pekerja Ladang Pertama di Telupid.

Berdasarkan fakta kes, anggota KPP Balai Polis Telupid mendapat panggilan dari Klinik Kesihatan Telupid yang telah menerima seorang mangsa tikam dan dipercayai telah meninggal dunia.

Sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menangkap suspek serta merampas sebilah tombak berukuran lebih kurang 5 kaki yang dipercayai digunakan suspek.

Hasil siasatan lanjut mendapati tertuduh telah masuk ke rumah mangsa secara tiba-tiba dan menikam mangsa di bahagian dada kiri dengan menggunakan tombak.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan dua anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Selepas itu, tertuduh telah melarikan diri ke ladang kelapa sawit dan mangsa di bawa ke klinik, namun dipercayai meninggal dunia kerana mengalami pendarahan yang serius di bahagian dada.

Berdasarkan siasatan ke atas saksi-saksi iaitu isteri dan dua anak mangsa, mereka dapat mengecam tertuduh kerana telah tinggal berjiran sejak tiga bulan yang lepas.

Mereka juga tidak tahu motif perbuatan tertuduh kerana hubungan antara mangsa dan tertuduh selama ini adalah baik dan tidak pernah berlaku pergaduhan atau perselisihan faham antara keduanya.

Selain itu, mangsa juga merupakan orang yang bertanggungjawab membawa tertuduh bekerja di ladang tersebut.

Melalui hasil rakaman percakapan, tertuduh memberitahu telah menikam mangsa kerana fikirannya secara tiba-tiba menjadi kosong dan terganggu kerana mendakwa mangsa berlaku tidak adil terhadap diri dan keluarganya berkaitan kerja di ladang itu selain sudah tidak suka kepadanya.

Berikutan itu, tertuduh dipercayai mempunyai masalah tekanan fikiran dan juga dipercayai dipengaruhi syabu kerana dalam keterangannya, tertuduh merupakan penagih dadah jenis syabu.

Hasil bedah siasat menjelaskan punca kematian mangsa berikutan kesan tikaman senjata tajam yang telah mengenai saluran darah utama mangsa dan organ dalaman.

Atas kesalahan itu, Zulkifli didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji.

Filipino labourer to hang for murder

Tiada ulasan:

Catat Ulasan