Sabtu, Disember 15, 2012

PATI IBARAT ‘MULANYA MANIS TETAPI KEMUDIANNYA MENJADI PAHIT’ - JUSTIN

Anggota Rela mampu bantu RCI tangani isu PATI

KENINGAU 11 Dis. - Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mampu membantu Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, Datuk Justin Guka berkata, anggota Rela boleh mengesan kesahihan MyKad yang dimiliki oleh segelintir PATI, sekali gus mengetahui bagaimana mereka memperolehinya.

tegas beliau yang juga Leftenan Kehormat Rela, setiap platun Rela di kampung masing-masing perlu peka dengan kehadiran penduduk atau orang asing yang mencurigakan.

"Sebagai anggota Rela kita perlu siasat latar belakang, dari mana mereka datang termasuk meneliti kad pengenalan yang dimiliki dan jangan sekali-kali berkompromi dengan PATI,"

katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rela Mukim Bingkor di Dewan Serbaguna Kampung Buang Sayang, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pegawai Rela Daerah Keningau, Leftenan Kolonel Venantius Masingga dan Ketua-Ketua Perhubungan Rela Mukim Daerah Keningau.

Dalam majlis itu, Justin turut menyampaikan pakaian seragam Rela, memakaikan pangkat kepada ketua dan timbalan platun bagi Mukim Bingkor dan melancarkan Tabung Keamanan Gaza.

Menurut Justin, kehadiran PATI perlu dibendung lebih awal kerana kedatangan mereka boleh diibaratkan seperti 'mulanya manis tetapi kemudiannya menjadi pahit' kerana secara perlahan-lahan mengambil hak rakyat tempatan.

"Di seluruh negeri rakyat mengeluh kerana peluang yang disediakan kerajaan diragut oleh rakyat asing yang kini kebanyakan sudah mempunyai kad pengenalan.

"Di Sarawak tidak seperti Sabah yang dibanjiri PATI, malah di Sarawak jarang kita nampak rakyat asing yang mempunyai kad pengenalan diragui atau PATI yang berkeliaran,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan