Khamis, Disember 20, 2012

19 SEKELUARGA NYARIS LEMAS APABILA RUMAH PPRT KARAM KE LAUT

Rumah karam ke laut ketika tidur

SANDAKAN 20/12/2012: Seramai 19 sekeluarga nyaris lemas apabila rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami mereka ‘karam’ perlahan-lahan ke laut dalam kejadian di Kampung Air, Jalan Batu Sapi, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 4 pagi itu hanya disedari seorang penghuninya, Noorsadilah Modjahirin, 26, yang lantas mengejutkan semua penghuni menyelamatkan diri.

Difahamkan, rumah berkenaan dihuni 19 ahli keluarga termasuk pemiliknya yang juga ibu tunggal, Rajimah Latip, 59, bersama tiga anak, dua menantu dan 13 cucu berusia antara tujuh bulan dan 12 tahun.

Menurut Noorsadilah, ketika kejadian, semua penghuni nyenyak tidur dan tidak menyedari rumah terbabit yang semakin condong mula tenggelam.

“Saya terjaga daripada tidur selepas berasa membuai-buai seperti pening sebelum melihat air mula memenuhi lantai rumah.

“Pada awalnya, saya menyangka berlaku banjir, tetapi sebaik meninjau melalui tingkap, saya terkejut melihat rumah kami runtuh dan mula dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Air.

Katanya, menyedari rumah mereka mulai runtuh dan hanyut, dia lantas mengejutkan ahli keluarga lain keluar menyelamatkan diri. “Tanpa berfikir panjang, kami sekeluarga terus berlari sebelum rumah kami akhirnya tenggelam perlahan-lahan bersama barang keperluan dan dokumen penting lain.

“Kami gagal menyelamatkan sebarang harta kerana bimbang rumah ini ranap dipukul ombak,” katanya.

Noorsadilah berkata, anak saudaranya berusia empat tahun nyaris lemas kerana masih tidur lena walaupun ketika itu rumah hanyut ke dalam laut.

“Kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri walaupun semua ahli keluarga berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.

“Kami juga bernasib baik kerana beberapa jiran yang menyedari kejadian ini segera membantu,” katanya.

Menurutnya, rumah berkenaan didaftarkan di bawah nama ibunya dan hanya sempat didiami selama tujuh bulan saja sebelum runtuh.

“Sebelum kejadian, tiang rumah ini kelihatan condong dan beberapa struktur rumah termasuk pintu tersekat serta sukar dibuka.

“Kami membuat aduan kepada pihak berkaitan tetapi tiada tindakan lanjut sehinggalah ia akhirnya runtuh,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Jason Tan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada wakil rakyat berkenaan Datuk Peter Pang En Yin.

“Beliau menghantar surat bagi memperoleh laporan terperinci mengenai kejadian ini daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

“Pada masa sama, kami turut meninjau keadaan rumah ini selain menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Mohd Hamsan Awang Supain berkata, pihaknya menghantar kontraktor bertanggungjawab melakukan pemeriksaan selain membina semula rumah berkenaan.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap semua rumah PPRT supaya kejadian sama tidak berulang.

“Keluarga malang ini ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Air selain Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan bantuan sewajarnya,” katanya.

----------------

PPRT SDK ROBOH 19122012

1 ulasan:

  1. kesihan juga bah penghuni rumah ini,mujur lah tidak melibatkan nyawa,banyak kontraktor yang membuat kerja-kerja ini cakap saja tinggi tapi bukan pandai pun,kadang-kadang kalau ditegur bukan mahu dengar,melawan cakap pula itu...

    BalasPadam