Khamis, Disember 20, 2012

SISWAZAH MASA KINI KURANG KEMAHIRAN — TAN SRI MUSTAPHA KAMAL

Siswazah masa kini kurang kemahiran — Tan Sri Mustapha Kamal

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Siswazah masa kini kurang kemahiran  terutama dalam menyelesaikan masalah membabitkan kerja, kata Pengerusi MK Land Holdings Berhad Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Katanya perkara itu dilihat beliau semasa mengadakan temu duga pengambilan pekerja baharu bagi syarikatnya.

“Ada graduan yang tidak mempunyai ‘clue’ bagaimana bekerja dengan rakan sekerja dan tidak tahu sistem pengurusan masa yang betul,” katanya ketika berkongsi tips mengenai ‘Empowering Youth for Nation Building’ (Memperkasakan belia untuk pembangunan negara) bersama petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Datuk Zakaria Abd Wahab.

Menurut Mustapha Kamal, lulusan institusi pengajian tinggi di negara ini juga didapati kurang kreativiti selain tidak mampu melakukan pembentangan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar agar tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik tetapi turut meningkatkan kemahiran insaniah sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Pada masa yang sama beliau berharap golongan muda selaku aset negara,  dapat mengamalkan budaya integriti dalam menjalani kehidupan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mustapha Kamal juga yakin jika setiap pelajar diberi peluang sewajarnya, mereka akan berjaya dalam hidup sekalipun kurang cemerlang dalam pelajaran.

Beliau menjadikan dirinya sebagai contoh kerana walaupun hanya sederhana dalam pelajaran, hasil kerja keras meletakkan dirinya di tempat sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan