Rabu, November 21, 2012

SEKUMPULAN LELAKI WARGA ASING BERSENJATA M-16 TAWAN IKAN BILIS?

M-16 tawan ikan bilis

TAWAU 20/11/2012: Seorang lelaki terpaksa berendam dalam laut hampir sejam apabila pelantar tempat dia bekerja bagi memungut hasil tangkapan ikan bilis, didatangi sekumpulan lelaki bersenjata api dipercayai jenis M-16 sebelum melarikan satu karung beg mengandungi ikan bilis.

Kejadian berhampiran Kampung Inderasabah, di sini, jam 8.30 malam Sabtu lalu ketika mangsa, Saha Ambok, 20, sedang memungut ikan bilis di atas pelantar berkenaan.

Menurut sumber, mangsa kemudian ternampak sekumpulan lelaki bersenjata api memakai bertopeng menaiki sebuah bot menuju ke pelantarnya.

“Mangsa terpaksa terjun ke laut dan bersembunyi di celah-celah tiang di pelantar bagi mengelak dikesan kumpulan penjenayah terbabit.

“Kumpulan penjenayah seramai tujuh lelaki bersenjata api itu kemudian naik ke pelantar sebelum mengambil sekarung ikan bilis seberat 40 kilogram yang dianggarkan bernilai RM350,” katanya.

Menurutnya, dua lagi lelaki berada di bot menunggu rakannya yang lain sebelum mereka melarikan diri ke arah Semporna, namun dipercayai berpatah balik sebelum menuju arah Tawau.

Sumber itu berkata, selepas kumpulan penjenayah itu beredar, mangsa pulang ke rumahnya sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi berkata, berdasarkan aduan mangsa suspek dipercayai menggunakan bahasa Suluk (loghat Filipina).

Sehubungan itu, katanya, APMM kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Oleh Norasikin Daineh dan Fardy Bungga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan