Ahad, September 23, 2012

SABAH SESUAI HAB PENERBANGAN TAMBANG MURAH

SABAH SESUAI HAB PENERBANGAN TAMBANG MURAH

210912-lead-1

KOTA KINABALU 21st September, 2012: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menggesa kerajaan membangunkan hab penerbangan khusus tambang murah di Kota Kinabalu, dengan berkata Sabah terletak di kawasan strategik dalam kawasan pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ibu negerinya juga merupakan destinasi untuk pelancong yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor hotel dan pelancongan pada masa depan, katanya pada jamuan perniagaan antarabangsa Sabah di sini kelmarin. Ia turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Pada majlis itu AirAsia menamakan sebuah pesawatnya bersempena dengan nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Menurut Fernandes, pesawat ‘Musa A320’ yang akan dilancarkan dalam tiga bulan lagi itu, di sini, didedikasikan buat Musa dan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Sabah begitu bererti buat saya kerana ketika saya dan rakan ingin memulakan perniagaan penerbangan tambang murah ini, hampir semua yang kami temui berpendapat idea tersebut tidak masuk akal,”.

“Namun, ketika menemui Musa untuk menyatakan idea tersebut dan meyakinkannya tentang bagaimana sektor pelancongan di Sabah dapat dimajukan melalui penerbangan tambang murah ini, dia (Musa) percaya dan yakin bahawa idea tersebut mampu menjadi realiti,” katanya ketika menyampaikan taklimat bersempena dengan Sabah International Business Luncheon Talk 2012 (SIBC-LT2012), di Sutera Harbour Resort, di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan baru-baru ini bagi memindahkan operasi penerbangan AirAsia ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Fernandes berkata: “Jika diarah berpindah, saya merupakan orang terakhir berpindah ke terminal itu memandangkan cukai lapangan terbang akan meningkat daripada RM3 kepada RM65.

“Kami tidak membayarnya, tetapi dibayar oleh penum- pang.”

AirAsia baru-baru ini dilaporkan merayu kepada Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan operasi di Terminal 2 KKIAwalaupun ia sudah memberi komitmen untuk berpindah ke Terminal 1 pada pertengahan Jun tahun lepas.

Tony Fernandes berkata Syarikat penerbangan itu enggan berpindah dari Terminal 2 ke Terminal 1 memandangkan kos operasi dan cukai lapangan terbang akan meningkat yang akan membebankan penumpang.

Keadaan itu akan menyebabkan jumlah penerbangan akan berkurangan dan akhirnya akan menyebabkan penurunan ketara bilangan pelancong ke Sabah, katanya.

“Di Sabah kami mengangkut kira-kira tiga juta penumpang dari 2009 hingga tahun ini dan menerusi laluan baharu dalam perancangan, kami menjangkakan muatan penumpang akan meningkat kepada enam juta.

“Pertumbuhan tahunan AirAsia bagi Sabah hanya 20 peratus setahun,” katanya.

Tony Fernandes yang memulakan perniagaan syarikat penerbangan pada 1993 dan memulakan operasi pada 1996, berkata formula rahsia kejayaannya termasuk tiga set iaitu kos rendah, jenama dan orang ramai.

“Kami bermula dari bawah dengan tumpuan khusus ke atas pasaran Asia, kami perlu memikirkan pasaran tempatan dan kemudiannya pasaran serantau,” katanya.

Beliau turut mengumumkan AirAsia akan memulakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Cebu di Filipina pada Disember.

Sementara itu, Musa menasihatkan usahswan tempatan supaya memanfaatkan pertumbuhan ekonomi dengan mencontohi usaha Tony Fernandes yang beliau sifatkan sebagai perniagaan yang berjaya.

Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun sebagai moderator, Pengerusi Penganjur SIBC-LT2012, Datuk A. Arulpragasam, dan Pengerusi Bersama SIBC-LT2012, Datuk Seri Wong Keng Thau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan