Ahad, September 23, 2012

AIRASIA DITEGUR ENGGAN PINDAH OPERASI

AirAsia ditegur enggan pindah operasi

Kota Kinabalu 2012/09/22: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia ditegur kerana enggan memindahkan operasi ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata tiada alasan untuk syarikat penerbangan itu tidak mengikuti keputusan Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC) yang membuat keputusan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan meneliti segala aspek.

Katanya, alasan dikemukakan syarikat itu bahawa pemindahan operasi ke Terminal 1 dari Terminal 2 Lapangan Terbang Kota Kinabalu hanya menjejaskan operasi perniagaannya termasuk peningkatan kos, tidak relevan kerana cukai dikenakan adalah rendah.

Kadar masih rendah

“Bagi penerbangan domestik cukai dikenakan di Terminal 1 adalah RM9 berbanding RM6 di Terminal 2. Memang diakui untuk penerbangan antarabangsa, ia agak tinggi 50 peratus tetapi kadarnya masih lagi rendah dibandingkan dengan cukai lapangan terbang antarabangsa negara lain.

“Dulu Firefly (anak syarikat Penerbangan Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang murah) turut beroperasi di sana dan mereka boleh juga beroperasi tanpa sebarang masalah.

“Jadi kita minta mereka menghormati keputusan NEC dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sudah berjanji

“Sepatutnya mereka sudah lama ikut iaitu sebaik keputusan dibuat. Malah mereka sudah berjanji memindahkan operasi dengan memberikan surat tetapi menarik balik selepas itu,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes kelmarin bahawa syarikat itu tidak bercadang memindahkan operasinya ke Terminal 1 KKIA kerana ia hanya menjejaskan operasi perniagaannya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, kemudahan di Terminal 2 tidak lagi sesuai antaranya kesesakan penumpang dan ia jauh berbeza berbanding Terminal 1 KKIA yang mempunyai kemudahan canggih serta memberi keselesaan kepada penumpang.

“Mereka minta Terminal 2 dibesar dan dibangunkan, kalau buat maka kerajaan perlu mengeluarkan lagi perbelanjaan selepas kerja naik taraf Terminal 1 dengan kos RM1.5 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan