Ahad, September 23, 2012

MAUT KETIKA DAKI KINABALU

Maut ketika daki Kinabalu

RANAU 2012/09/22: Impian seorang lelaki menawan puncak Gunung Kinabalu tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di Kilometer 3.6, Mesilau, ketika dipercayai cuba mendaki gunung tertinggi Asia Tenggara itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa, Mohd Yusuf Sarip, 51, dari Kuala Lumpur dikatakan menyertai rombongan mendaki gunung itu awal pagi berkenaan.

Dia adalah individu terakhir daripada 42 peserta rombongan yang memulakan pendakian dari Mesilau ke puncak gunung itu kira-kira jam 9 pagi.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terpisah daripada rakan rombongannya dan hanya ditemui sudah tidak bernafas oleh jurupandu kumpulan pendaki lain.

Ketika ditemui, lelaki itu cuba diselamatkan jurupandu dengan melakukan bantuan pernafasan hampir 30 minit, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Mangsa kemudian dibawa turun dan dihantar ke Hospital Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang peserta ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu maut ketika mendaki gunung berkenaan.

“Mangsa ditemui telentang tidak bernafas di laluan di Mesilau oleh jurupandu yang baru sampai di laluan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas yang melawat Kolam Air Panas Poring meninggal dunia selepas sesak nafas.

Mangsa, Hari Singh Sarban Singh, 72, antara peserta rombongan sebuah pertubuhan dari Pulau Pinang yang melawat pusat rekreasi berkenaan.

Mangsa dalam perjalanan jam 2 petang ke kanopi rombongannya apabila dia tiba-tiba rebah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia.

Rahman berkata, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

OIeh Norasikin Daineh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan