Ahad, September 23, 2012

AWAS ‘USTAZ’ PALSU!

imMentaliti perlu berubah

ustad palsu KUALA LUMPUR 2012/09/19: “Budaya ‘tangkap muat’ dengan melabel seseorang sebagai ‘ustaz’ begitu mudah bukan hanya mencemar nama baik Islam, malah keseluruhan masyarakat yang mengamalkan agama suci ini,” kata penceramah bebas, Ahmad Dasuki Abd Rani.

Beliau berkata, tindakan mempercayai secara melulu sesiapa saja yang disangkakan alim tanpa mengetahui latar belakang pendidikan agama individu dengan gelaran berkenaan amat merugikan masyarakat kerana jika tersilap langkah boleh terpengaruh dengan ajaran yang salah.

“Sudah banyak kes membabitkan penipuan oleh individu digelar ‘ustaz’ oleh masyarakat kerana kesilapan masyarakat itu sendiri yang begitu mudah melabel gelaran berkenaan kepada sesiapa saja yang dianggap alim.

“Mentaliti masyarakat kita, asal saja individu berkenaan memakai jubah dan serban atau berjanggut mereka anggap dia alim, malah jika individu itu pandai baca al-Quran sikit, atau masuk program realiti agama pun kita sudah gelar mereka ‘ustaz’,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang lelaki kononnya bergelar hafiz dan mempunyai pendapatan lebih RM100,000 sebulan membuatkan dia diberi kuasa dan dijulang dengan penuh hormat oleh kariah masjid dan surau. Menggelarkan dirinya ‘Sheikh’, lelaki yang mengaku berusia 31 tahun dari Terengganu itu dilantik menjadi pengerusi masjid dan surau, malah mengislamkan seorang lelaki dan wanita dengan disaksikan jawatankuasa surau yang terpedaya dengan temberang kehebatannya, malah diberi kepercayaan sebagai imam dan mengajar tadarus al-Quran. Namun, tembelangnya pecah apabila seorang hafiz sebenar menjadi makmumnya ketika solat dan menyedari kesalahan ayat dibaca lelaki terbabit, lalu menegurnya.

Ahmad Dasuki berkata, proses sebelum bergelar ustaz juga sama seperti bidang profesional lain iaitu kedua-duanya memerlukan pendidikan tertentu sebelum mendapat gelaran termasuk doktor dan profesor.

“Sekarang ini, gelaran ustaz sewenang-wenangnya diberi kepada sesiapa saja walaupun dengan hanya pandai bercakap sikit hal agama. Sebenarnya keadaan ini begitu memalukan mereka yang selayaknya mendapat gelaran terbabit serta mencemar nama baik ustaz.

“Justeru, sudah tiba masanya masyarakat keluar dari kepompong berkenaan dan meletakkan nama ustaz selayak-layaknya,” katanya.

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Tiada ulasan:

Catat Ulasan