Isnin, Jun 18, 2012

PEMBENTUKAN BARISAN PEMBANGKANG MASIH SATU ILUSI DI SABAH

Pembentukan Barisan Pembangkang Masih Satu Ilusi Di Sabah

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) -- Sejak beberapa bulan lepas, parti pembangkang di Sabah sibuk berbincang untuk merungkai ketidaksefahaman dalam isu pembahagian kerusi pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di negeri itu.

Setelah selesai beberapa pusingan rundingan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) akan berdepan dengan pertandingan satu lawan satu, nampaknya Parti Maju Sabah (SAPP), DAP, PKR dan Parti Pembaharuan Negeri (STAR) tidak mencapai banyak kemajuan tentang perkara itu.

Sabah mempunyai 60 kerusi negeri dan 25 kerusi parlimen.

SAPP, yang dipimpin bekas ketua menteri Datuk Yong Teck Lee, dikatakan tidak membantah sekiranya parti pembangkang kebangsaan meletakkan calon di dua pertiga daripada jumlah kerusi parlimen tetapi mahu dua pertiga daripada jumlah kerusi negeri diperuntukkan kepada parti politik tempatan.

Bagaimanapun, pengerusi STAR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak mahu parti pembangkang kebangsaan meletakkan sebarang calon di negeri itu.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Jeffrey berkata memang berlaku pertindihan (mengenai calon) kerana setiap parti menyediakan senarai calon sendiri tetapi beliau yakin perkara itu dapat dikurangkan melalui semangat tolak ansur dalam kalangan parti pembangkang tempatan.

"Ini mungkin berlaku bagi sesetengah kawasan, tapi bukan di semua kawasan. Kalau kami boleh capai satu pertiga atau malah, 50 peratus, sudah cukup baik," katanya sambil menjelaskan bahawa pertandingan satu lawan satu hanya sesuatu yang ideal tetapi sukar menjadi kenyataan di sesetengah kawasan atas alasan strategik.

Oleh itu, kata beliau, pengundi perlu mendapat maklumat secukupnya dan memahami bahawa pertandingan satu lawan satu hanya suatu strategi, bukan untuk melemahkan semangat pengundi untuk keluar mengundi bagi calon pilihan mereka.

Namun demikian, beberapa pemerhati politik percaya STAR Sabah sedang bekerjasama dengan BN untuk menyukarkan parti pembangkang di negeri itu berkempen secara satu barisan.

Jeffrey bagaimanapun menafikan pandangan itu. Beliau berkata parti berkenaan sedang berbincang dengan parti pembangkang lain untuk memastikan wujudnya sebanyak mungkin pertandingan satu lawan satu dan idea untuk membentuk satu barisan pembangkang yang padu di Sabah, masih boleh dicapai.

"Memang tidak betul langsung (bahawa STAR bekerjasama dengan BN). Kenapa kami perlu membuang masa?. Memang tidak adil langsung untuk berkata begitu. Ini demokrasi...kami ada hak untuk bertanding," katanya.

Malah, kata beliau, bagi pilihan raya umum akan datang, STAR Sabah sedia berkompromi kerana parti itu lebih berminat untuk bertanding di kawasan majoriti masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) dan kawasan bercampur, bukan di semua 60 kawasan eperti yang ditegaskan sebelum ini. Bagi kerusi parlimen, mereka berhasrat bertanding di 10 hingga 12 kerusi di Sabah.

SAPP dan pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS di Sabah nampaknya telah mencapai persetujuan pembahagian kerusi walaupun perbincangan masih diteruskan antara mereka dan STAR Sabah.

Presiden SAPP, Yong memberitahu Bernama bahawa walaupun parti itu ingin bertanding di kebanyakan kerusi negeri tetapi ia bersedia mengurangkan jumlah itu supaya keadaan menjadi lebih fleksibel atau seperti yang dinyatakannya, untuk bekerjasama "dengan semangat sedia berkongsi bebanan".

"Ini merupakan formula menang-menang (perkongsian bebanan). Rundingan masih berterusan. Memang bukan sesuatu yang mudah, tapi kami berharap akan mencapai banyak kemajuan. Usaha membentuk sebuah barisan pembangkang yang padu boleh berjaya sekiranya ada banyak masa," kata Yong.

Beliau berkata secara dalaman, parti itu mengamalkan prinsip satu calon, satu kerusi -- sama ada kerusi negeri atau kerusi parlimen, tetapi bukan dua kerusi sekali gus.

Namun demikian, Yong enggan menjelaskan sama ada beliau akan bertanding kerusi negeri atau parlimen walaupun terdapat desas-desus bahawa beliau telah membuka pejabat gerakan pilihan raya parti di Likas.

Penganalisis politik dan pensyarah di UiTM Sabah, Dr Arnold Puyok, ragu-ragu sama ada parti politik di negeri itu mampu mengelak daripada berlaku pertandingan banyak penjuru pada PRU ke-13.

Beliau berkata sukar bagi parti pembangkang di negeri itu untuk bersatu, walaupun mereka cuba mewujudkan pertandingan satu lawan satu dan sesetengah mereka kelihatan sedia untuk berkompromi.

Contact"Setiap orang ada agenda sendiri. Masalah di Sabah ialah kita tidak tahu siapa yang mengetuai barisan pembangkang, sekiranya ada. Tiada siapa yang ingin membentuk pakatan yang padu, setiap orang mempunyai matlamat sendiri.

"Memanglah mereka kata mereka sedia berkompromi, tapi ini sesuatu yang masih sukar dicapai. Sekiranya mereka tidak bersatu, BN akan mempunyai kelebihan apabila berlaku pertandingan banyak penjuru," katanya.

Bagaimanapun, BN Sabah tidak mengambil kisah tentang perkara itu kerana ia lebih memberi perhatian terhadap usaha memantapkan lagi persiapan untuk terus berkuasa di negeri itu melalui undi majoriti yang lebih besar.

"Memanglah isu tetap ada seperti Sabah untuk rakyat Sabah, Suruhajaya Siasatan Diraja Mengenai pendatang asing tanpa izin dan hasil minyak dan gas yang begitu dekat di hati rakyat. Namun, ia lebih kepada politik pembangunan.

"Orang Cina tidak dapat melepaskan diri daripada isu nasional, tapi kerusi majoriti kaum Cina hanya terdapat di Kota Kinabalu dan Sandakan.

"BN berusaha gigih untuk memenangi hati mereka. Secara keseluruhan, BN Sabah masih mampu menang dengan majoriti selesa. Ini tidak boleh diragukan," kata Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said Keruak.

Sesungguhnya, PRU ke-13 akan mendedahkan sama ada hasrat parti pembangkang di Sabah untuk membentuk satu pakatan kukuh, menjadi kenyataan.

Oleh Alan Ting

Tiada ulasan:

Catat Ulasan