Sabtu, Jun 02, 2012

PEKADIN CADANG KERAJAAN SABAH BERI ANUGERAH KEPADA SENIMAN MENDIANG JOHN GAISAH

Berikan anugerah pada 'P Ramlee Sabah'

Jun 2 2012: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Dusun Sabah (Pekadin) mencadangkan agar seniman sepanjang zaman Sabah mendiang John Gaisah diberi pertimbangan untuk "anugerah darjah kebesaran negeri" sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan jasa yang ditaburkannya dalam industri muzik negeri.

Naib presidennya, Timah Dusip berkata penghargaan seumpama itu wajar dan tepat pada masanya memandangkan John merupakan salah seorang pelopor industri muzik Sabah serba boleh yang berjaya menaikkan imej negeri melalui penglibatannya sebagai penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu khususnya lagu-lagu tempatan Kadazandusun.

Selain itu, katanya, mendiang yang pernah diberi nama jolokan "Sabah's Tom Jones" turut memahat namanya dalam industri muzik negara apabila menduduki tempat ketiga pertandingan akhir Bintang RTM 1976 yang akhirnya dimenangi oleh allahyarham Sudirman Arshad.

"Jelas sekali, selepas Bintang RTM 1976, mendiang John telah memberi nafas baru dan suntikan kekuatan kepada industri muzik KDM (Kadazandusun Murut), sekali gus membawa industri muzik Sabah dalam arus perdana seni muzik negara.

"Beliau (John) juga seorang seniman yang serba boleh...boleh menyanyi, memain muzik dan mencipta lagu dan banyak lagu ciptaannya masih kekal diminati sampailah sekarang termasuk lagu Norikot Nodi Bulan Lima (Lagu Kaamatan). Bagi Pekadin kebolehan dan bakatnya yang luar biasa meletakkanya seakan-akan P Ramlee bagi Sabah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Timah berkata demikian sebagai sokongan kepada mendiang John yang dipilih sebagai pemenang anugerah Skrin KDM bagi kategori Seniman KDM Sepanjang Masa anjuran Persatuan Aktivis Filem dan Muzik KDM, Sabah di Hongkod Koisaan, Penampang, malam tadi.

Majlis penganugerahan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

John meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Penampang, dekat bandar raya Kota Kinabalu, pada 11 Ogos 1981 pada usia muda 26 tahun.

Sehubungan itu, Pekadin berharap sumbangan mendiang John dan juga penggiat seni Sabah lain yang banyak berjasa kepada industri muzik negeri supaya diberi pengiktifaran yang sewajarnya seperti yang diberikan kepada artis, penyanyi, pelakon atau penggiat seni di negeri lain.

Persatuan Artis Tempatan Sabah (Pertisa) turut menyokong agar mendiang John Gaisah diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri Sabah.

Timbalan Presiden Pertisa Narsisius Justin Misin berkata mendiang bukan sahaja berbakat besar dalam arena nyanyian tetapi juga berjaya mencipta berpuluh-puluh lagu KDM dalam masa yang singkat sehinggalah pemergiannya kira-kira 31 tahun lepas.

Katanya persatuan itu juga pernah memberi anugerah seni kepada mendiang John pada tahun 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan