Isnin, Mei 14, 2012

PENDUDUK DUA KAMPUNG MINTA SAFODA TIDAK MASUKI TANAH NCR MILIK MEREKA

Penduduk dua kampung minta Safoda tidak masuki tanah NCR milik mereka

PITAS 14th May, 2012: Para penduduk di dua perkampungan di sini iaitu Kg Mangkubau Darat dan Kampung Mantaya meminta Lembaga Pembangunan Perhutanan Sabah (Safoda) salah sebuah agensi kerajaan negeri tidak memasuki tanah yang mereka warisi dari nenek moyang mereka lagi sejak 1926.

Menurut Ketua Kampung yang juga jurucakap kedua-dua perkampungan itu, KK Mangundod Limuhau, Safoda sudah memasuki Tanah Adat (NCR) dan mereka sudahpun membuat bantahan rasmi terhadap penerokaan oleh agensi itu di kedua-dua kampung itu.

Beliau mendakwa kawasan yang sedang diusahakan bertandak ‘ Hak Milik Safoda’ sebenarnya termasuk dalam kawasan Tanah Adak Hak Asasi Anak Negeri Kampung Mangkubu Darat dan Kampung Mantaya.

“Saya bagi pihak para penduduk di kedua-dua perkampungan ini merayu agar kerja-kerja penanaman kayu oleh Safoda atau apa juga tujuan hendaklah diberhentikan dengan serta merta,” katanya.

Beliau juga meminta Safoda untuk membuka papan-papan tanda yang diletakkan ‘Hak Milik Safoda’ yang dipasang di kawasan itu.

“Tanah perkampungan ini telah dipohon oleh penduduk asal sejak tahun 1926 lagi tetapi tidak pernah diluluskan oleh pihak Jabatan Tanah dan Ukur dengan memberikan pelbagai alasan,” kata KK Mangundod dalam kenyataannya kepada akhbar ini.

Beliau berkata dari semasa ke semasa bilangan penduduk semakin bertambah dan memerlukan kawasan tapak rumah dan sebagainya, tetapi keluasan tanah tetap tidak berubah.

“Pihak mahkamah sudah memutuskan bahawa penduduk asal mempunyai hak ke atas tanah adat ini, oleh yang demikian semua pihak harus menghormati keputusan ini,” katanya.

Beliau berkata penduduk kedua-dua kampung juga merayu kepada Wakil Rakyat Banggi, Datuk Abdul Mijul Unani, supaya membawa perkara ini ke pihak berkenaan supaya proses pengeluaran geran tanah kepada setiap penduduk kampung dapat dipercepatkan.

“Ini sejajar dengan konsep 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan