Ahad, April 29, 2012

PENSTRUKTURAN SEMULA MASWINGS BAKAL BERI IMPAK BESAR KEPADA SABAH & SARAWAK

Penstrukturan Semula MASwings Bakal Beri Impak Besar Kepada Sabah, Sarawak - Abang Johari

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Pemilikan ekuiti MASwings oleh kerajaan Sabah dan Sarawak bakal memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri itu, kata Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Katanya pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung kajian semula struktur anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines itu menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan meningkatkan lagi perhubungan udara di Sabah dan Sarawak.

"Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan ini menunjukkan perlunya kita untuk terus memberi mandat kepada beliau, lebih-lebih lagi dalam keadaan Sabah dan Sarawak masih memerlukan banyak bantuan persekutuan untuk memajukan kemudahan infrastrukturnya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri ketika Program Jelajah Janji Ditepati di sini, antara lain mengumumkan kajian semula itu bagi mempertimbangkan penglibatan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam pemilikan ekuiti MASwings.

MASwings mula beroperasi secara rasmi pada 1 Okt 2007, dengan menjalankan perkhidmatan udara pedalaman di kedua-dua negeri terbabit.

  • Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kedua-dua kerajaan negeri masih lagi dalam peringkat perundingan dengan Malaysia Airlines bagi memuktamadkan jumlah ekuiti yang bakal dipegang pihak terlibat.
  • Walau bagaimanapun katanya, kedua-dua kerajaan negeri berkenaan dijangka menjadi pemegang ekuiti majoriti yang akan membolehkan mereka membuat keputusan terhadap perkhidmatan MASwings.
  • Beliau juga berpadangan MASwings tidak perlu bersaing dengan syarikat penerbangan lain dan satu model perniagaan baru yang sesuai akan dirangka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan