Jumaat, Mac 16, 2012

ADO RENTUNG DALAM MPV

Penolong Pegawai Daerah rentung dalam kereta

PASUKAN forensik dan bomba memeriksa keadaan kereta mangsa yang musnah terbakar awal pagi kelmarin.

KOTA MARUDU Mac 16, 2012: Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu ditemui rentung dalam kereta yang dinaikinya selepas kenderaan terbabit dipercayai terbakar di Kilometer 12, Talan Tandek-Kota Marudu kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi itu, mangsa Hilde Primus Peki @Hilde P Kayau, 43, ditemui rentung di tempat duduk pemandu kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.45 pagi.

“Sepasukan polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba di tempat kejadian didapati mangsa berada dalam kenderaan terbabit dan dalam keadaan hangus terbakar di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari arah pekan Kota Marudu menuju ke Pitas untuk pulang ke rumahnya dan dipercayai apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta mangsa terbakar,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Mohd Isa berkata, berdasarkan siasatan juga kenderaan yang dinaiki mangsa itu memang mengalami masalah dan pernah dua kali berlaku masalah pendawaian.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih menunggu laporan kejadian sebenar dari pihak forensik dan Jabatan Kimia bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu berlaku.

image “Kenderaan terbabit disahkan adalah milik mangsa berdasarkan pengecaman daripada ahli keluarga mangsa dan setakat ini tiada unsur-unsur jenayah didapati.

“Setakat ini, polis juga mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara Pegawai Perhubungan Bomba Sabah, Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.09 pagi.

“Sepasukan bomba dengan sebuah jentera kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 4.08 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran pada jam 5 pagi,” katanya.

Tambahnya, sejurus selepas api berjaya dipadamkan didapati ada satu mayat yang telah rentung berada di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Proton Exora berkenaan.

“Pihak bomba kini masih menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya.

---------

ADO rentung dalam MPV

image KOTA MARUDU 16 Mac 2012: “Saya terdengar empat letupan sebelum melihat kenderaan itu terbakar,” kata Hisyamsul Hamza, 35, saksi kejadian yang mengorbankan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kota Marudu, Hilde Primus Peki @ Hilde Primus Kayau selepas Proton Exora miliknya terbakar di Jalan Ulu Tandek, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Hilde, 43, ditemui mati dalam keadaan rentung selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan. Hisyamsul berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang memasang khemah untuk berniaga di Tamu Tandek, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik terdengar letupan itu dia bersama beberapa peniaga lain bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah MPV terbakar.

“Kami segera menghubungi bomba dan cuba memadamkan api, namun tidak berani menghampiri kenderaan yang marak terbakar itu kerana bimbang meletup,” katanya ketika dihubungi.

Hisyamul berkata, dia menyangka tiada mangsa di dalam kenderaan itu kerana keadaan agak gelap selain bahang panas menyukarkan mereka menghampiri MPV terbabit.

“Saya ingat tiada orang di dalam kenderaan itu tetapi terkejut apabila bomba menemui satu mayat rentung sebaik api dipadamkan,” katanya yang juga saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Ketua Operasi Menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Marudu, Pegawai Bomba Larsson Majaya, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba 15 minit kemudian, kami mendapati keseluruhan kenderaan sudah terbakar. Anggota bomba kemudian menemui satu mayat rentung dalam kenderaan itu,” katanya.

Larsson berkata, tiada identiti diri atau dokumen ditemui berikutan keadaan mayat yang rentung.

“Berikutan penemuan mayat itu, bomba menghubungi polis bagi melakukan siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba masih melakukan siasatan berhubung punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata kejadian itu dipercayai akibat masalah pendawaian elektrik.

9 ulasan:

  1. Why does the vehicle suddenly exploded? Hope the police will find out the truth.

    BalasPadam
  2. Condolence to the victim's family of this case.

    BalasPadam
  3. Takziah. tapi harap disiasat sebaik mungkin dan kebenaran tu dapat diketahui.

    BalasPadam
  4. takziah.. saya harap pengeluar kereta tematan dapat meningkatkan kualiti kenderaan yang dikeluarkan.. bagaimana kenderaan keluaran terbaru proton ini boleh terbakar secara tiba2??

    BalasPadam
  5. punca sebenar kejadian kena disiasat.

    BalasPadam
  6. takziah kepada keluarga mangsa. Kita tunggu keputusan siasatan mengenai perkara ini.

    BalasPadam
  7. ucapan takziah kepada keluarga beliau,semoga kes ini dpt diselesaikan dgn segera dan cekap.agar dpt mengetahui punca sebenar kenapa hal ini boleh berlaku scr tiba2.

    BalasPadam
  8. saya ucapkan takziah kepada mangsa yang terbabit dgn kes itu .

    BalasPadam