Penjual kubis rentung tersandar
RANAU Dis 28, 2011: Seorang lelaki warga emas tidak sempat menghadiri majlis perkahwinan cucunya apabila dia rentung di dalam bilik rumahnya yang terbakar di Kampung Monteki, Kundasang di sini, kelmarin.
Lebih menyayatkan hati, mangsa, Hamidul Abdullah, 60, yang juga penjual kubis ditemui dalam keadaan tersandar di dinding bilik dipercayai cuba menyelamatkan diri, kira-kira 11.40 malam.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah selepas isteri, Limah Sabuling, 60, ke rumah anaknya di Kampung Marakau, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka bagi membuat persiapan majlis perkahwinan cucu yang berlangsung, semalam.
Limah berkata, pada pagi sebelum kejadian, dia mengajak suami ke rumah anak mereka bagi menghadiri majlis perkahwinan, tetapi suami mahu menjual kubis terlebih dulu dan menyuruhnya pergi dulu.
“Saya akur dengan permintaan suami dan terus ke rumah anak, tapi pada tengah malam semalam (kelmarin), saya terkejut apabila menerima panggilan polis bahawa suami terbunuh dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Limah berkata, sukar untuk menerima kejadian yang menimpa suami yang rentung selain rumah yang didiami dengan insan tersayang turut hangus.
“Saya sedih mengenangkan suami pergi dalam keadaan begitu,” katanya.
--------------------
Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Di Ranau
KOTA KINABALU Dis 28, 2011: Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an rentung dalam kebakaran di Ranau malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Rudy Mekii berkata, kejadian berlaku di rumah mangsa yang dikenal pasti sebagai Hamidul Abdullah di Kampung Menteki Mesilau.
Bomba menerima panggilan kira-kira pukul 11.45 malam dan lima anggota menggunakan kenderaan pacuan empat roda, tiba di tempat kejadian 25 km dari pekan Ranau, hampir satu jam kemudian disebabkan jalan yang sukar dilalui.
Mekii berkata api dapat dipadamkan setengah jam kemudian tetapi rumah kayu itu musnah sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan