Isnin, November 07, 2011

INDUSTRI GAS & MINYAK TELAH MERUBAHKAN BINTULU DARI PERKAMPUNGAN NELAYAN MEMBANGUN DENGAN PESAT SEBAGAI KAWASAN PERINDUSTRIAN BERTEKNOLOGI TINGGI

Bintulu Bakal Catat Pertumbuhan Ekonomi Lebih Pesat

BINTULU, 6 Nov (Bernama) -- Ekonomi Bintulu, yang semakin berkembang sebahagian besarnya berikutan kejayaan industri minyak dan gas, dijangka terus pesat dengan penempatan industri lain yang mengambil manfaat daripada infrastrukturnya.

Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) Datuk Mohidin Ishak hari ini berkata industri lain telah mula mengenali Bintulu dan menempatkan kilang mereka di sini.

"Sejak 30 tahun lepas, industri minyak dan gas membentuk sebahagian besar daripada pembangunan Bintulu, melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bintulu kepada tujuh peratus melepasi Sarawak yang berada pada lima hingga enam peratus," katanya kepada Bernama.

Pelabur terbaru di Bintulu termasuk Tokuyama Corporation dari Jepun yang melabur RM6.5 bilion untuk menempatkan dua kilang polycrystalline silicon, Press Metal Berhad dengan loji melebur aluminium bernilai US$1.6 bilion dan Asia Minerals yang berpusat di Hong Kong dengan kilang memproses bijih mangan bernilai US$200 juta di kawasan perindustrian baru Samalaju, di Similajau.

Beliau berkata 10 hingga 17 pelabur baru telah memulakan kerja-kerja penyediaan tapak atau pembinaan sebenar manakala pelabuhan laut dalam baru di Samalaju akan memenuhi keperluan aktiviti loji melebur aluminium dan mangan yang semakin tumbuh di kawasan perindustrian yang baru itu.

Turut dibangunkan adalah Saluran Paip Gas Petronas Sabah-Sarawak dan pembinaan terminal gas yang terletak sepanjang jalan dari Kidurong ke Kawasan Perindustrian Samalaju, katanya.

Apabila gelombang pembangunan berikutnya melanda Bintulu, Mohidin berkata ia akan mendapati penduduk yang lengkap dengan ilmu pengetahuan, berdisiplin, terlatih dan berkeyakinan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Tenaga kerja Bintulu telah memperoleh tahap disiplin, latihan dan kemahiran yang tinggi hasil pengalaman mereka dalam industri minyak dan gas," katanya, sambil menambah pekerja minyak dan gas di Sarawak sejak 30 tahun lepas telah mengikuti latihan serta pendedahan yang agak banyak dalam industri berskala besar.

Beliau berkata pekerja Bintulu dalam industri minyak dan gas boleh ditemui di seluruh dunia sekarang.

Para pekerja ini -- daripada eksekutif pengurusan tertinggi yang berkemahiran dalam teknologi maklumat dengan jawatan tinggi dalam industri minyak dan gas sehinggalah pekerja mahir serta tidak mahir di peringkat sederhana dan rendah -- adalah petanda baik bagi industri lain menjalankan operasi mereka di Bintulu, katanya.

Sambil menarik perhatian bahawa industri minyak dan gas kini menjadi penyumbang asal dan terbesar kepada kejayaan Bintulu, beliau berkata BDA sendiri, yang ditubuhkan pada 1978, adalah hasil penemuan minyak luar pesisir dan gas.

Bintulu telah berkembang daripada sebuah perkampungan nelayan dengan penduduk berjumlah 14,000 orang pada 1970-an kepada sebuah pusat perindustrian yang sibuk dan bersemangat yang dihuni 167,000 penduduk pada tahun 2000, sebelum jumlahnya meningkat kepada 214,214 orang pada 2010.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu Datuk Sia Hong Ngee berkata penduduk Bintulu yang bekerja pada masa ini mungkin merupakan antara pekerja berpendapatan tertinggi di negara ini.

Memandangkan mereka atau keluarga mereka tinggal di sini, beliau berkata perbelanjaan atau pemindahan keluar pendapatan mereka ke Bintulu, akan menjana limpahan ekonomi lain yang positif.

"Beberapa pelanggan, yang membeli rumah daripada saya, adalah pekerja minyak dan gas yang memperoleh kerja yang baik di tempat terpencil seperti Pok Hai di China, Laut Utara, Kazakhstan atau Timur Tengah," katanya, sambil menambah mobiliti mereka adalah bukti tahap kelayakan tinggi yang diperoleh pekerja minyak dan gas di Bintulu.

Sia berkeyakinan bahawa Bintulu berkemungkinan besar akan meraih manfaat daripada pengalamannya dalam industri minyak dan gas, di samping mobiliti penduduknya.

17 ulasan:

  1. Perubahan ini pasti akan mendatangkan kesenangan kepada penduduk disekitarnya.

    BalasPadam
  2. Pastikan orang tempatan adalah pekerja terbanyak bekerja.

    BalasPadam
  3. Bintulu membangun pesat kerana terdapat industri minyak dan gas. harap Kinamis Sabah yang memulakan projek yang sama akan turut membangun seperti Bintulu.

    BalasPadam
  4. hrap dari industri tersebut, penduduk tempatan akan mendapat byk manfaat.

    BalasPadam
  5. Selamat maju jaya diucapkan kepada Bintulu atas pencapaian mereka dalam Industri Gas dan Minyak.

    BalasPadam
  6. Harap Industri Gas dan Minyak di Sabah juga boleh mencapai pembagunan yang setaraf.

    BalasPadam
  7. Bah kasi up sikitlah % royalti minyak Sabah.

    BalasPadam
  8. Untunglah mereka yang bekerja dengan Petronas dan yang tinggal berhampiran dengan kawasan industri gas dan minyak Petronas.

    BalasPadam
  9. pekan Kimanis yang majoriti penduduknya terdiri daripada nelayan juga bakal menjadi sebuah bandar minyak yang maju seperti Bintulu.

    BalasPadam
  10. mungkin Sabah juga memerlukan masa berpuluh tahun untuk mengecapai kemajuan sepertu Bintulu dan juga bagi melahirkan pekerja yang mahir dalam bidang ini.. namun tempoh masa itu bukanlah penghalang untuk Sabah berdiri sama tinggi dengan negeri2 maju yang lain di negara ini..

    BalasPadam
  11. Bintulu kini berkembang pesat hasil pembangunan industri gas dan minyak..

    BalasPadam
  12. pembangunan yang berlaku di Bintulu kini dinikmati oleh masyrakat Bintulu..

    BalasPadam
  13. kita mahukan orang tempatan menjadi golongan terbanyak yang mengisi kekosongan jawatan dalam projek2 yang dilaksanakan Petronas nanti. namun, persoalannya adakah orang tempatan Sabah sudah cukup bersedia dengan kelayakan dan kemahiran yang melayakkan mereka terlibat dalam industri minyak dan gas ini?rasanya berapa ramai yang ada pengalaman dan kelayakan?

    BalasPadam
  14. semoga Kimanis dan seluruh Sabah dapat merasai perubahan dan kemajuan yang dibawa oleh Petronas di Sabah ini.

    BalasPadam
  15. Jika projek ini diteruskan maka tidak lama lagi Kimanis pula yang akan menjadi kawasan yang maju tidak lama lagi.

    BalasPadam
  16. Bintulu perlulah dicontohi oleh Kimanis Sabah. Sebaiknya berikan keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mencaburi diri dalam minyak dan gas. Berikan mereka ilmu dan pendidikan dalam minyak dan gas.

    BalasPadam
  17. Harap Projek minyak dan gas asli di Kimanis juga boleh membawa perkembangan yang sama dengan Bintulu.

    BalasPadam