Isnin, September 19, 2011

LANGKAH PENGHAPUSAN ISA AKAN MEMBERI LEBIH KEBEBASAN KEPADA RAKYAT – DR. MAHATHIR

Dr Mahathir Sokong Isa Dihapuskan

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin menyatakan sokongan beliau terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat Malaysia.

Namun, Dr Mahathir menegaskan ISA yang diwarisi sejak zaman British sebenarnya tidaklah terlalu kejam kerana rakyat Malaysia masih bebas memberi pandangan dan pendapat mereka.

"Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA...dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat,"

katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran KelabChedet.com di sini.

Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia "pada tahap moral yang tinggi", malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

"Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

"Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain.

"Dulu mereka menegur Malaysia kononnya zalim, menahan tahanan tanpa perbicaraan, namun itu yang mereka lakukan sekarang ini.

"Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Teluk Guantanamo lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir khuatir puak pelampau dan perkauman di Malaysia akan mengambil kesempatan untuk membuat kenyataan yang akan merugikan negara apabila ISA dihapuskan.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata beliau menggunakan blog sebagai medium untuk berkomunikasi dengan orang ramai.

"Melalui blog saya mampu membuat teguran dan menyampaikan pandangan untuk dikongsi bersama," katanya.

Berpendapat teguran yang dibuat dalam blog beliau sebagai satu keperluan, Dr Mahathir berkata blog harus digunakan untuk menyampaikan sesuatu yang betul.

11 ulasan:

  1. Jika khuatir puak pelampau dan perkauman mengambil kesempatan dengan penghapusan ISA ni, mungkin perlunya akta baru segera digubal.

    BalasPadam
  2. kebebasan itu penting tetapi harus ada hadnya juga. harap rakyat menggunakan sebaiknya kebebasan telah yang diberikan.

    BalasPadam
  3. pelabagai reaksi yang diterima berhubung pemansuhan ISA. namun, kebanyakan pihak menyambut baik keputusan tersebut.

    BalasPadam
  4. setuju dengan Ava, kebebasan harus digunakan dengan baik dan dihargai..

    BalasPadam
  5. Betul, selepas pemansuhan ISA, rakyat memiliki lebih banyak kebebasan bersuara.

    BalasPadam
  6. pemensuah ISA mgkin akan memberi kesempatan pada puak pelampau. harap akta baru digubal segera.

    BalasPadam
  7. Harap ISA ini berjaya dimansuhkan buat selama-lamanya.

    BalasPadam
  8. Satu saja harapan sya...harap dua undang2 baru yang menggantikan ISA tidakla terlalu serupa dengan undang2 lama...kalau mcm tu seolah2 ganti nama saja, tapi isinya tetap sama...

    walaupun ada negatifnya, undang2 serupa ISA perlu juga ada untuk melindungi negara kita dari anasir2 jahat seperti terrorist etc...

    BalasPadam
  9. Kenapa Dr M tidak menghapuskannya semasa Dr M masih berkuasa? Kenapa sekarang baru setuju..

    BalasPadam
  10. Setiap apa yang dilakukan pasti ada kebaikkannya.

    BalasPadam
  11. pemansuhan ISA adalah langkah yang baik dan patut diterima oleh seluruh rakyat di negara ini sebagai satu perubahan positif dari kerajaan.. tidak perlu termakan dengan hasutan pihak pembangkang yang tidak henti2 mempertikaikan langkah pemansuhan tersebut.

    BalasPadam