Jumaat, Ogos 05, 2011

POLIS PERCAYA TELAH DAPAT MENYELESAIKAN KES PEMBUNUHAN TIMBALAN PENGARAH VETERINAR NEGERI PERAK, DR ROHANI KASSIM

Empat Suspek Ditahan Kes Bunuh Timbalan Pengarah Veterinar

IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Negeri Perak, Dr Rohani Kassim, 38, yang dijumpai mati di rumahnya di Ulu Kinta di sini semalam ekoran penangkapan empat lelaki.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata dua suspek ditangkap kira-kira sejam selepas penemuan mayat Dr Rohani pada kira-kira 3.30 pagi semalam tidak jauh dari rumahnya manakala suspek ketiga ditahan pada 4.30 petang di Tanjung Malim dan suspek keempat ditahan pada 10.30 malam Khamis di Slim River.

EMPAT suspek kes bunuh Dr. Rohani Kassim dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 26 tahun dan polis turut menemui barang-barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Zakaria berkata dua daripada suspek adalah penganggur, seorang lagi pekerja Pos Malaysia manakala seorang lagi adalah askar yang melarikan diri daripada tugas.

"Seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah bersabit kes rogol di Slim River tahun lalu," katanya.

Beliau berkata dua daripada mereka direman empat hari manakala dua lagi direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat Dr Rohani ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di Pangsapuri Permai Lake View yang terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menunruni tangga pangsapuri itu pada kira-kira 3.30 pagi.

Selepas disiasat, pengawal itu mendapati bungkusan yang ditinggalkan itu adalah cadar tebal yang membalut mayat mangsa yang terikat kedua-dua tangan dan kakinya.

Pengawal keselamatan berkenaan terus menghubungi polis.

Pada Khamis, ibu mangsa Sharifah Razali, 72, berkata anaknya baru sebulan bertugas di Ipoh dan kali terakhir beliau menemui anaknya ialah pada hari pertama berpuasa Isnin lepas di kampung mereka di Bagan Serai.

Zakaria sementara itu berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengetahui punca kematian.

1 ulasan:

  1. MANUSIA SEMAKIN KEJAM...YANG BERSALAH PATUT D HUKUM DGN SETIMPAL. SAYU HATI LIHAT WAJAH IBU ARWAH DR ROHANI....AL-FATIHAH BUAT ARWAH

    BalasPadam