Ahad, Ogos 07, 2011

PATI WANITA PARAH DITETAK DUA LELAKI

Wanita parah ditetak dua lelaki

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Entah apa puncanya, dua lelaki bertindak menyerang dan menetak seorang pekerja kilang wanita di kediamannya di sebuah flat di Taman Taming Jaya, Balakong, Kajang dekat sini, semalam.

Mangsa yang cedera berlumuran darah dan tidak sedarkan diri bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui oleh jiran yang kemudian segera menghantarnya ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, jiran yang terdengar bunyi bising pergi melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menemui mangsa berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, mangsa segera dikejarkan ke Hospital Serdang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana cedera parah.

"Polis yang menyiasat kes tersebut dimaklumkan mangsa diserang menggunakan senjata tajam oleh dua lelaki semasa bersendirian di rumah.

"Mangsa berusia lingkungan 30-an merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bekerja di kilang berhampiran kawasan kediamannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit diserang semasa baru tiba di rumah selepas selesai bertugas syif malam dan penyerang mungkin dikenali oleh mangsa.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak di leher dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.

Tambahnya, motif mangsa diserang belum diketahui dan polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk mempunyai kaitan dengan hutang atau cemburu.

"Mangsa tidak disamun kerana tiada barang-barang berharga miliknya dilarikan dan polis sedang berusaha mengesan rakan serumahnya juga dipercayai PATI yang menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Ab. Rashid meminta orang ramai atau rakan serumah mangsa supaya tampil membantu polis dalam siasatan kes tersebut dan sesiapa mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Komuniti Taming Jaya di talian 03-89622222.

2 ulasan:

  1. Kes jenayah oleh PATI semakin membimbangkan. Mereka sanggup bertindak dengan mengikut perasaan.

    BalasPadam
  2. Apa nak jadi dengan manusia zaman sekarang?

    BalasPadam