Selasa, Ogos 09, 2011

SUAMI KEPADA WANITA DIBUNUH & DIKERAT 15 BAHAGIAN TIDAK TERBABIT

Suami tidak terbabit

AMPANG 09 Ogos 2011: Suami kepada seorang wanita yang ditemui mati bersama seorang kanak-kanak dalam keadaan ngeri di sebuah pangsapuri terbiar di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, 3 Ogos lalu, sudah dikesan polis.

Difahamkan, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan polis di rumahnya di Bandar Baru Ampang, di sini, kelmarin.

Sebaik ditahan dan disoal siasat, lelaki itu mengaku dia adalah suami kepada wanita yang dibunuh kejam itu.

Menurut sumber, sebelum ini, lelaki berasal dari Sabah itu tidak pernah membuat laporan polis berhubung kehilangan isterinya itu.

“Keterangan suami mangsa sudah diambil dan siasatan awal mendapati lelaki itu tidak terbabit dalam kes pembunuhan kejam berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, motif pembunuhan belum dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Difahamkan, polis berjaya mengesan suami mangsa hasil siasatan polis susulan penahanan lapan suspek warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah pangsapuri terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat lima bangunan itu. Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan.

Dipercayai mangsa dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat melebihi 15 bahagian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan