Rabu, Julai 20, 2011

RAZALI PEMAIN KULINTANGAN DARI SABAH MENJUARAI PROGRAM BAKAT TV PERINGKAT AKHIR

Bakat TV: Pemain Kulintangan Menang RM30,000

KUALA LUMPUR Julai 20, 2011: Pemain kulintangan berasal dari Sabah, Razali Abd Rahman, 26, menjuarai program Bakat TV peringkat akhir menerusi bakat solo muzik yang disiarkan secara langsung di TV1 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, malam Selasa.

Hadiah juara meliputi wang tunai RM20,000 beserta trofi, barangan Figos dan sijil. Selain itu, Razali turut memenangi kategori Bakat Paling Popular dan menerima wang tunai RM10,000 sekaligus membawa pulang wang keseluruhan RM30,000.

Kelincahan Razali bermain kulintangan begitu memukau penonton.

Bagi Razali, kemenangan ini bukan yang pertama kali baginya kerana sebelum ini dia pernah menjuarai Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) Road To Hollywood di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2010 dan minggu lalu di Festival Muzik Rainforest di Sarawak.

“Pada mulanya saya tidak menyangka bakal memenangi program ini. Yang penting saya dapat menyampaikan hasrat saya untuk membawa alat muzik tradisi ini dikenali di seluruh Malaysia.

“Dengan hadiah kemenangan ini, saya berhasrat untuk menghasilkan set kulintangan yang baru untuk digunakan oleh anak-anak Sabah yang mahu belajar cara bermain alat muzik ini,” katanya dalam satu sidang media.

Selain itu, dia yang baru menamatkan pengajiannya dalam kursus Diploma Seni Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ini turut merancang untuk menyambung pengajiannya dengan menggunakan wang kemenangan itu.

“Kulintangan dibuat daripada dua jenis iaitu besi atau tembaga. Apa yang saya dapati, harga set kulintangan yang berkualiti mencecah RM5,000.

“Saya juga mahu menggunakan wang kemenangan ini untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Selain itu, saya bercadang untuk membuat album pelbagai konsep muzik tradisional,” ujarnya lagi yang bermain alat muzik ini sejak berusia 10 tahun.

Menurutnya, alat muzik yang digunakan untuk memasuki program itu dibuat sendiri olehnya pada tahun 1998.

Katanya lagi, dia ingin memperjuangkan muzik kulintangan ini memandangkan ia kurang dikenali di negara ini jika dibandingkan dengan muzik lain seperti gambus dan akordion yang sudah dikenali ramai.

“Jika ada peluang, saya sudah lama bercita-cita untuk mengiringi persembahan Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagu berentak Irama Malaysia dengan menggunakan alat muzik kulintangan,” katanya yang biasa bermain kulintangan mengikut muzik lagu Nirmala dan Kurik Kundi nyanyian penyanyi tersohor negara itu.

Bakat Razali diwarisi oleh keluarganya yang juga mempunyai kepakaran bermain alat muzik tetapi menurutnya, muzik kulintangan itu dipelajari sendiri sejak kecil atas minatnya terhadap muzik tersebut.

Kulintangan merupakan alat muzik tradisional yang paling popular di Sabah terutama di kalangan kaum Bajau dan Kadazan-Dusun.

Alat muzik tersebut terdiri daripada lapan hingga sembilan atau lebih gong kecil dalam satu set.

11 ulasan:

  1. Tahniah kepada Razali. semoga dia berjaya dalam bidang yang diceburinya terutama memperkenalkan alat muzik tradisional-kulintangan di peringkat nasional dan antarabangsa.

    BalasPadam
  2. Saya betul-betul kagum bila melihat Razali memainkan Kulintangan. Bukan saja menyerlahkan bakatnya, tapi pada masa yang sama juga berjaya mempromosikan alat muzik tradisional. Teruskan usaha.

    BalasPadam
  3. Ada orang yang berpendapat bahawa alat muzik tradisi sudah ketinggalan zaman, tapi Razali berjaya membawa perasaan baru kepada alat muzik ini. Lebih banyak pemuda patut digalakkan memainkan alat muzik tradisi supaya tidak pupus budaya kita.

    BalasPadam
  4. Taniah diucapkan. Orang Sabah juga baa, jangan pandang sebelah mata saja dengan orang Sabah. Banyak lagi isu2 yang sepatutnya mengutamakan orang Sabah daripada orang luar.

    BalasPadam
  5. Ini kalilah! Ramai rakyat Sabah yang berbakat dan harus diketengahkan. Selamat maju jaya kepada Razali dan semoga lebih banyak artis dari Sabah dilahirkan.

    BalasPadam
  6. tahniah kepada Razali. razali berjaya memenangi pertandingan itu walaupun menggunakan alat muzik tradisional.

    BalasPadam
  7. tahniah kepada Razali, dia amat berbakat. beliau harus kembangkan lagi permainan muzik Kulintangan hingga ke peringkat dunia.

    BalasPadam
  8. Tahniah kepada beliau. Kepada sesiapa yang mempunyai bakat tersimpan, jangan pendamkan. Kita tidak tahu jika kita tidak cuba untuk mengetengahkan bakat yang kita ada.

    BalasPadam
  9. Tahniahlah kepada Razali..Teruskan usaha memperkenalkan alat muzik tradisional kita.

    BalasPadam
  10. Tahniah.. di zaman ini bukan mudah mencari bakat yang boleh bermain dengan alat muzik tradisional.

    BalasPadam