Selasa, Julai 19, 2011

ADA ANTARA PEKERJA WARGA ASING YANG DATANG MENDAFTAR SUDAH BEKERJA SECARA SAH DI NEGARA INI MELEBIHI 20 PULUH TAHUN

60,000 Pati Dijangka Didaftar Di Sandakan Dalam Program 5P

SANDAKAN, 18 Julai (Bernama) -- Pejabat Imigresen di sini menyasarkan untuk mendaftarkan 60,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) pada program pendaftaran di bawah 5P yang bermula Isnin hingga 1 Ogos.

Ketuanya Jaimin Sumpit berkata kebanyakan mereka adalah pekerja dari sektor perladangan dan pertanian di sekitar daerah ini, Kinabatangan dan Beluran.

Sabah hanya melaksanakan lima perkara daripada Program 6P dan tidak melaksanakan proses pemutihan yang telah dilaksanakan pada 1997, 1998, 2008 dan 2009.

Jaimin berkata jumlah itu adalah termasuk tanggungan Pati iaitu isteri dan anak-anak mereka yang akan mengambil peluang pendaftaran di bawah 5P itu yang membolehkan mereka tidak diambil sebarang tindakan dan pulang ke negara mereka secara sukarela.

Di TAWAU, program pendaftaran pekerja asing di Rumah Persekutuan dekat sini mendapat sambutan menggalakkan daripada majikan dan pekerja.

Sehingga jam 11 pagi Isnin, seramai 500 pekerja warganegara asing sudah mendaftarkan diri dengan agensi kerajaan berkenaan.

Ada antara pekerja warga asing yang datang mendaftar sudah bekerja secara sah di negara ini melebihi 20 puluh tahun dan masih bersemangat meneruskan kerja mereka selagi khidmat mereka diperlukan majikan.

Seorang pekerja yang berasal dari Palopo, Sulawesi Selatan, Indonesia, Kaslim Tasse, 47, berkata dia telah bekerja di Ladang Table sejak 27 tahun lalu dan ketika itu dia masih bujang dan kini mempunyai tiga orang anak yang berusia antara tujuh hingga 20 tahun.

Nama asal ladang tempat Kaslim bekerja ini ialah Borneo Abaca Limited (BAL), salah satu ladang tertua di Tawau. Suatu ketika dahulu, ladang ini dimiliki Golden Hope dan kini oleh Sime Darby.

"Sejak saya mula bekerja di ladang itu hingga ke hari ini, saya sudah bekerja di bawah tiga majikan. Kami semua dilayan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Menurut Kaslim, sejak menjejakkan kaki ke Tawau, beliau tidak pernah kembali ke kampung halamannya kerana seronok bekerja di sini sehingga dianggapnya Tawau sebagai 'lombong emas'.

Seorang lagi rakyat Indonesia yang berasal dari Nunukan, Mohd Arif Bacho, 48, yang bekerja di Ladang Bombalai juga milik Sime Darby berkata dia sungguh seronok bekerja di ladang berkenaan kerana segala prasarana disediakan majikan.

Mohd Arif yang telah bekerja di situ sejak 18 tahun lalu berkata dia akan tetap bekerja di situ selagi majikannya memerlukan tenaganya.

"Saya merasa bersyukur, kerana pihak berkuasa Malaysia memberi peluang kepada saya untuk menyambung semula pasport saya yang telah tamat tempohnya sejak tiga bulan lalu," katanya.

Pendaftaran yang akan berakhir pada 2 Ogos ini mensasarkan rakyat asing yang masuk ke negara ini secara haram (PATI), tinggal melebihi tempoh, melanggar syarat-syarat pasport dan rakyat asing yang diberi pasport oleh kedutaan masing-masing.

12 ulasan:

  1. Masalah warga asing di negeri kita memang sudah lama berlaku.

    BalasPadam
  2. Matlamat utama pendaftaran ini adalah untuk mendapatkan statistik bagi pekerja asing yang sudah melebihi had tempoh yang dibenarkan untuk berada di sini.

    BalasPadam
  3. Tapi tetap sahaja pass mereka akan disambung. Jadi apakah penyelesaiannya terhadap isu PTI?

    BalasPadam
  4. sebenarnya bukan semua juga warga asing ni mendatangkan masalah pada negara. tapi apa yang sangat merisaukan bila warga asing ni datang ke negara secara haram dan mendapat IC dengan cara yang salah.

    BalasPadam
  5. semakin ramailah warga asing di negara ni bila semua PATI didaftarkan. harap kerajaan tidak terlalu bertolak ansur dengan golongan PATI ni.

    BalasPadam
  6. Yang tinggal di M'sia secara tidak sah yang patut dicari dan diambil tindakan.

    BalasPadam
  7. begitu lama juga warga asing bekerja di Sabah. nampaknya mereka seperti tak nak kembali.

    BalasPadam
  8. yang rakyat hendak dari kerajaan ialah menyelesai masalah PATI.

    BalasPadam
  9. hantar balik PATI yang tidak mempunyai pasport perjalanan yang sah di Sabah.

    BalasPadam
  10. bagi pendatang asing yang datang ke negara ini secara tidak sah harus dipastikan mereka pulang atau dihantar pulang ke negara mereka.

    BalasPadam
  11. 20 tahun sudah bekerja di Sabah dengan cara yang Sah. Baguslah kalau macam itu. Harap semua mencontohi warga asing tersebut.

    BalasPadam
  12. teruskan sahaja program ini walaupun ada sedikit kritikan dari pihak tertentu. kita tidak akan tahu bagaimana hasilnya jika tidak dilaksanakan. jika program ini dapat dilaksanakan dengan teliti dan bersungguh2, tidak mustahil masalah PATI di negeri mampu diselesaikan dengan cepat dan berkesan.

    BalasPadam