Ahad, Mei 22, 2011

24 ORANG TERTIMBUS DALAM KEJADIAN TANAH RUNTUH

24 Orang Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini Sabtu.

Setakat 8 malam, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.

 

MANGSA tanah runtuh, Mohd Khairul Annuar, 9, cedera di kaki dihantar ke  Hospital Ampang.

PASUKAN penyelamat mengeluarkan seorang mangsa tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.

10 ulasan:

  1. Tempat ini tidak selamat dijadikan rumah anak yatim. Harap mereka boleh mendapatkan tempat yang lain untuk berpindah.

    BalasPadam
  2. takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. harap punca kejadian akan dapat diketahui dan kejadian seumpama ini akan dapat dielakkan pada masa akan datang.

    BalasPadam
  3. satu kejadian yang sungguh menyayat hati. takziah kepada semua kelaurga mangsa.

    BalasPadam
  4. semoga usaha mencari dipermudahkan dan mereka yang masih hilang dapat ditemui dengan selamat.

    BalasPadam
  5. Malang tidak berbau. Inilah yang menimpa rumah anak yatim ini.

    BalasPadam
  6. Punya sedih, aku pun mahu menangis oo :(

    BalasPadam
  7. Punca kejadian harus dikaji supaya langkah bejaga-jaga dapat diambil disamping mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi.

    BalasPadam
  8. Harap Allah memberkati mereka yang masih terperangkap.

    BalasPadam
  9. THis is sad. Hopefully the rescue team manage to save those who are still trapped.

    BalasPadam
  10. Lets pray for them.

    BalasPadam