Sabtu, Mac 12, 2011

PREMIUM MUNASABAH & TUNTUTAN LEBIH CEPAT MENERUSI KERANGKA KERJA INSURANS MOTOR BAHARU - BNM

Premium Munasabah & Tuntutan Lebih Cepat Menerusi Kerangka Kerja Insurans Motor Baharu

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerangka kerja perlindungan motor baharu yang berkuat kuasa 1 Jan tahun depan, akan memastikan akses yang lebih tinggi ke atas perlindungan insurans pada harga yang munasabah, perkhidmatan yang lebih baik serta pampasan yang dibayar dengan cepat.

Bank pusat berkata peraturan dan operasi Insurans Permotoran Berkelompok Malaysia (MMIP) sedang dikaji semula bagi memastikan pemilik kenderaan berusia lebih 10 tahun tidak semestinya berisiko tinggi.

Ini bermakna mereka juga mendapat akses yang lebih luas kepada pelindungan motor pada premium yang rendah, kata Bank Negara dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam mengenai premium insurans yang tinggi, selain bayaran tuntutan yang pelahan.

Beberapa anggota pembangkang dan penyokong kerajaan mereka menyuarakan kesepaduan terhadap dakwaan bahawa syarikat insurans tidak bertanggung jawab yang mengenakan caj insurans pihak ketiga yang tidak masuk akal, kebiasaannya untuk kenderaan berusia lebih 10 tahun.

Mereka berkata bayaran itu tidak adil kepada pengguna di luar bandar, yang kebanyakannya menggunakan kereta lama, selain syarikat insurans mengambil masa yang terlalu lama, ada ketikanya bertahun-tahun, untuk menyelesaikan tuntutan.

Sambil menyifatkan kerangka kerja baharu itu sebagai penyelesaian menyeluruh, terhadap isu yang dibangkitkan, ia juga berkata tuntutan akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga 18 bulan berbanding satu hingga lima tahun sekarang.

Bank Negara berkata pada masa ini ada pemilik kenderaan persendirian tertakluk kepada kadar premium yang tinggi bagi polisi yang dibeli daripada MMIP, yang juga pengeluar pilihan terakhir.

Walaupun ia sudah dilaporkan dan diketengahkan, ia menyumbang hanya dua peratus daripada jumlah kenderaan yang diinsuranskan di Malaysdia dan membabitkan hanya kereta persendirian berusia lebih 10 tahun, kata bank pusat.

"Bagi kenderaan yang sememangnya berisiko tinggi, akses kepada perlindungan boleh diperoleh menerusi MMIP, namun tertakluk kepada premium bersesuaian yang selari dengan risiko," kata Bank Negara.

Ia juga berkata dua strategi jangka panjang diguna pakai untuk meningkatkan kecekapan dalam peruntukan perlindungan motor, dengan pelarasan harga secara berperingkat-peringkat yang memastikan pembelian insurans motor pada premium mampu ditanggung.

Tarif yang tidak dikaji selama lebih 30 tahun, merupakan sumber utama kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai sejak kebelakangan ini.

Walaupun premium tidak diselari, berlaku peningkatkan ketara dalam jumlah pemilikan kereta, kadar kemalangan dan tuntutan,.

Menerusi kerangka kerja baharu, pelarasan premium yang akan berkuat kuasa tahun depan, adalah kecil dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh empat tahun.

Sebagai contoh, perlindungan pihak ketiga, motosikal 110 cc akan mengalami peningkatan premium antara RM1.00 - RM3.50 setahun (maksimum 30 sen sebulan) dalam tempoh empat tahun yang berikut.

Bagi kenderaan persendirian 1,400 cc, pelarasan premium antara RM6.00 - RM34.00 setahun (maksimum RM2.80 sebulan) dalam tempoh yang sama.

Untuk kenderaan komersil seperti teksi luar daerah dan bas, impak pelarasan premium ke atas penumpang adalah minimum iaitu kurang daripada 10 sen bagi seorang penumpang.

Kategori kenderaan seperti kereta sewa yang mempunyai tuntutan baik akan mendapat manfaat daripada pengurangan premium atau kadar peningkatan yang rendah.

Bank Negara berkata ia menghalang syarikat insurans daripada meminta pemilik membeli perlindungan tambahan bukan motor seperti polisi kemalangan peribadi, semasa membeli perlindungan motor, dan menambah tindakan tegas akan diambil ke atas syarikat terbabit.

Orang ramai yang menghadapi masalah mendapatkan pelindungan insurans atau dipaksa membeli perlindungan lain, dinasihatkan supaya menghubungi Bank Negara Malaysia di TELELINK: 1 300 88 5465.

-- BERNAMA

11 ulasan:

  1. Harap usaha daripada Bank Negara dapat melindungi rakyat daripada syarikat insurans yang tidak beretika.

    BalasPadam
  2. kena pastikan premium ini menyenangkan rakyat.

    BalasPadam
  3. harap BNM akan sentiasa berusaha memastikan akses yang lebih tinggi ke atas perlindungan insurans pada harga yang munasabah.

    BalasPadam
  4. Yang penting berpatutan dengan kereta yang dimiliki.

    BalasPadam
  5. saya harap ianya benar2 dapat dilaksanakan tahun depan...

    BalasPadam
  6. Kalau berpatutan, nda pa juga la. hehe

    BalasPadam
  7. Semoga usaha ini dapat melindungi kepentingan rakyat.

    BalasPadam
  8. Harga insurans motor ini tidak sepatutnya dinaikkan dengan melampau tanpa sebab. Harap mereka akan membuat penjelasan dengan perbuatan ini.

    BalasPadam
  9. Adakah ada pihak yang mahu mengaut keuntungan?

    BalasPadam
  10. Publisiti diperlukan untuk menyebarkan maklumat mengenai perkara ini agar tidak banyak yang tertipu.

    BalasPadam
  11. Kereta terpakai kan sepatutnya diberikan banyak pelepasan..

    BalasPadam