Ahad, Februari 06, 2011

SANDWICH YANG DIPESAN MENGANDUNGI SEEKOR CACING HIDUP

Cacing ditemui dalam sandwich

Seekor cacing dijumpai dalam roti sandwich yang dibeli oleh seorang pelanggan sebuah restoran di Ipoh, baru-baru ini.

IPOH 4 Feb. - Seorang pelanggan yang makan di sebuah restoran dekat sebuah hotel di sini, terkejut apabila sandwich yang dipesan mengandungi seekor cacing hidup dalam saladnya.

Rizal Zaharuddin, 35, dari Ipoh, yang selalu mengunjungi restoran itu berkata, ketika kejadian pada pukul 2.40 pagi ini, dia bersendirian menikmati sandwich yang berharga RM10.

"Saya terkejut melihat kepala cacing sepanjang kira-kira empat sentimeter tiba-tiba mengengsot keluar dari sandwich yang telah saya makan.

"Bagi saya, kalau ulat dijumpai dalam sayur, itu mungkin perkara biasa, tetapi ini cacing. Chef yang membuatnya mungkin tidak membasuh salad tersebut betul-betul," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Rizal berkata, sebaik sahaja memberitahu perkara itu kepada seorang pelayan restoran, pekerja berbangsa asing tersebut segera membuang cacing berkenaan.

Dia memberitahu, pengurus restoran itu mengakui kesilapan tersebut walaupun pada awalnya pelayan restoran terbabit berlagak kasar dengannya.

Menurutnya, dia ditawarkan sebuah bilik di hotel tersebut sebagai ganti rugi tetapi menolaknya kerana menganggap ia seolah-olah sebagai satu rasuah.

"Saya akan membuat laporan polis mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat.

"Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Rizal turut menggesa supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memeriksa status halal hotel berkenaan.

Dia berkata, ini disebabkan kebanyakan chef restoran tersebut terdiri daripada tukang masak dari Nepal dan Myanmar.

"Saya sudah serik makan di sana, malah asyik terkenang-kenang mengenainya setiap kali melihat salad," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan