Rabu, Februari 02, 2011

PENANAMAN DURIAN MERAH SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN DAERAH KINABATANGAN

Kinabatangan Jadi Perintis Penanaman Durian Merah Di Sabah

KINABATANGAN, 1 Feb (Bernama) -- Kinabatangan menjadi perintis kepada penanaman durian merah secara besar-besaran di negeri ini berikutan pembukaan tanah seluas empat hektar di Taman Bandar berhampiran Pekan Kinabatangan.

Sebagai permulaan 300 anak pokok durian merah akan ditanam di Taman Bandar yang akan dijadikan sebagai taman pertanian dan diusahakan sendiri oleh Pejabat Pertanian di sini.

Majlis pelancaran penanaman durian merah di taman itu disempurnakan oleh Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dalam satu majlis di tapak penanaman durian merah itu di sini pada Selasa.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Bung Moktar berkata projek penanaman durian merah itu dijalankan di bawah program pembangunan pertanian Parlimen Kinabatangan dengan kerjasama Pejabat Pertanian Kinabatangan.

Katanya ia adalah usaha yang diambil untuk mengkomersialkan tanaman itu yang sememangnya terkenal di daerah ini.

Beliau berkata belum ada durian merah ditanam secara meluas di daerah ini dan hanya ditanam di kawasan kebun persendirian.

"Menyedari potensi durian merah ini, kami mengambil inisiatif menanamnya secara besar-besaran untuk dijadikan produk baru hasil pertanian di negeri ini dan usaha untuk menjadikan Taman Bandar sebagai tarikan pelancongan di daerah ini," katanya.

Bung Moktar berkata bagi tujuan mempromosi tanaman itu, 2,700 anak pokok durian merah akan diagih-agih kepada penduduk kampung di daerah ini.

Katanya untuk perancangan jangka panjang, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Sirim untuk membantu usaha mengkomersialkan lagi buah durian merah.

Durian merah banyak terdapat di daerah ini dan dijual dengan harga RM5 sebiji serta mampu mencecah RM60-RM80 sekilo setiap kali musim 'raja buah' itu.

5 ulasan:

  1. Ini sememangnya inovasi pertanian. Harap penduduk akan berusaha menjayakan penanaman durian merah ini.

    BalasPadam
  2. penanaman durian merah mmg akan berpotensi untuk dimajukan, ia mempunyai rasa yang sedap serta kulitnya mudah untuk dibuka.

    BalasPadam
  3. penanaman Durian Merah ini dapat dijadikan sebagai satu lagi produk pelancongan yang menarik dan menguntungkan.

    BalasPadam
  4. Semoga Kinabatangan dapat menjadi kawasan pelancongan suatu hari nanti.

    BalasPadam
  5. durian jenis ini amat baik kerana kandungan alkoholnya rendah berbanding dengan durian biasa. dengan keunikkan yang dimiliki, sudah tentu buahan jenis ini berpotensi untuk dikomersialkan.

    BalasPadam