Isnin, Mac 08, 2010

''IA SEBENARNYA UNTUK MEMBERI KESEDARAN KEPADA SEMUA PIHAK TERMASUK DIRI SAYA BETAPA KITA MASIH MEMPUNYAI TUGAS BESAR DAN ADA SESETENGAH CABARAN ITU TIDAK MAMPU DITANGGUNG PEMIMPIN TEMPATAN BERSENDIRIAN,"

Penduduk terkejut Ali sanggup redah jalan

RANAU 7 Mac - Jarak Kampung Kaingaran dari sini hanya kira-kira 60 kilometer. Bagaimanapun perjalanan untuk ke kampung paling hujung dalam daerah ini sebelum sampai ke Beluran, Sandakan, memakan masa lebih tiga jam.

Semuanya gara-gara jalan batu sepanjang 50 kilometer yang terpaksa ditempuh oleh sesiapa sahaja yang ingin ke kampung itu.

Selain sempit, jalannya berbahaya kerana perlu melalui lereng bukit, gelap, berhabuk ketika kemarau dan menjadi laluan berlumpur ketika hujan.

Dengan segala kesukaran itu, hampir tiada orang luar yang sanggup ke kampung berkenaan yang penduduknya terdiri daripada kaum Orang Sungai dan Dusun.

Justeru apabila terdengar khabar bahawa pemimpin dari Semenanjung iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mahu datang ke kampung tersebut, ramai yang tidak percaya.

Seorang penduduk, Rahmah Nasrun, 54, berkata, tidak ada siapa yang mahu datang ke kampung itu kerana terpaksa melalui jalan batu berbukit bukau yang amat menyeksakan.

"Namun saya terkejut apabila melihat Mohd. Ali keluar dari kenderaan dan bersalaman dengan penduduk kampung ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Usin Sigandong, 50, yang terkejut dengan kehadiran Mohd. Ali berkata, dia tidak hairan dengan kehadiran pemimpin kerana selalunya mereka akan datang menaiki helikopter.

jln perkampung_masuk by bambarayon''Tetapi kalau dia mahu naik kereta baguslah kerana dapat merasai kesusahan penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, Jaudin Tuahan, 35, berkata, dia bersama isteri dan dua anak lelakinya sanggup berjalan sejauh 15 kilometer untuk bersama Mohd. Ali pada Program Juara Rakyat anjuran UMNO Ranau itu.

''Hilang rasa penat apabila dapat bertemu pemimpin yang sudi datang ke sini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, lokasi yang jauh di kawasan pedalaman itu bukan bertujuan 'menyeksa' Mohd. Ali yang juga bapa angkat kepada UMNO Ranau.

''Ia sebenarnya untuk memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk diri saya betapa kita masih mempunyai tugas besar dan ada sesetengah cabaran itu tidak mampu ditanggung pemimpin tempatan bersendirian," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ali berjanji akan memastikan keluh-kesah penduduk Kampung Kaingaran itu sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan