Ahli Perniagaan Diseru Cari Resolusi Jauhi Rasuah
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Tidak wujud keadaan 'terpaksa menyuap' sekiranya ahli perniagaan tahu mencari resolusi dan lebih telus mematuhi sistem serta prosedur yang ditetapkan lebih awal lagi, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed.
Beliau berkata berdasarkan kes-kes sebelum ini, kebanyakan ahli perniagaan mendakwa mereka sebenarnya tidak rela membayar rasuah kepada pihak tertentu termasuk pegawai kerajaan namun terpaksa berbuat demikian kerana tiada pilihan.
"Kita bersetuju kebanyakan ahli perniagaan tidak mahu membayar rasuah namun mereka sendiri perlu mencari resolusi dan tindakan tentang bagaimana untuk menjauhi kemungkinan berhadapan dengan elemen rasuah dalam urusan seharian mereka.
"Dalam konteks tersebut, ahli perniagaan sebenarnya perlu lebih telus dengan mematuhi sistem dan prosedur dalam masa yang ditetapkan bagi memastikan tidak wujud keadaan terpaksa menerima rasuah," katanya selepas mengadakan dialog dengan Dewan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di sini pada Rabu.
Sebagai usaha memerangi rasuah terutamanya di kalangan ahli perniagaan, katanya SPRM bercadang mengadakan interaksi secara berkala dan juga pendidikan mengenai pencegahan rasuah di semua negeri dalam memastikan matlamat 'ahli perniagaan sifar rasuah' dapat dicapai.
Katanya, usaha untuk membanteras rasuah di kalangan ahli peniagaan tidak sepatutnya dibebankan di bahu penguatkuasa dan kerajaan semata-mata sebaliknya ia perlu dijalankan secara bersama dan memerlukan kerjasama daripada peniaga-peniaga juga.
Dalam pada itu, Abu Kassim memberi jaminan bahawa semua laporan berhubung rasuah yang dikemukakan kepada SPRM oleh mana-mana individu akan diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya.
"SPRM yang berjalan hari ini adalah SPRM yang bebas. Kita berjanji bukan sahaja bebas tapi juga nampak bebas dan dirasai bebas dalam perbuatan dan tindakan kita," katanya.
Terdahulu pada dialog tersebut, persatuan berkenaan membuat cadangan supaya ahli atau wakil daripada persatuan itu terlibat dalam jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan SPRM bagi mewakili komuniti ahli perniagaan.
Beliau berkata, SPRM menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan perniagaan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pencegahan rasuah dan mewakili komuniti dalam jawatankuasa tertentu di SPRM.
"Saya menyokong cadangan tersebut malahan meminta mereka untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan memandangkan ada dua jawatankuasa akan tamat pada akhir tahun ini. Oleh kerana persatuan ini mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat perniagaan, mereka patut mewakili dalam jawatankuasa yang kita ada sekarang ini," kata beliau.
Antara jawatankuasa yang boleh dianggotai termasuklah jawatankuasa semakan operasi dan juga jawatankuasa yang melibatkan aktiviti pencegahan atau mana-mana jawatankuasa yang difikirkan perlu dan terpulang kepada kerajaan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan