Isnin, Februari 01, 2010

DIA TERKEJUT MELIHAT KAKI KIRI ANAKNYA TERSEPIT PADA ESKALATOR DAN MENJERIT MEMINTA TOLONG

Kaki budak tersepit sejam di eskalator

KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun parah kaki kirinya apabila tersepit hampir satu jam pada eskalator di sebuah pasar raya, di Bandar Utama dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa bersama ibunya dikatakan sedang turun menggunakan eskalator ke kawasan lobi sebelum mangsa menjerit selepas kakinya tersepit pada tangga bergerak itu.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kaki kiri anaknya tersepit pada eskalator dan menjerit meminta tolong pihak pengurusan pasar raya dan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Usaha orang ramai mengeluarkan kaki anak saya gagal sebelum pihak pengurusan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mengeluarkan kakinya yang tersepit hampir sejam kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehubungan itu, anaknya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Pakar di Damansara untuk rawatan lanjut.

“Sayu hati saya mendengar anak saya menjerit merayu supaya kakinya dikeluarkan, namun saya hanya mampu menenangkannya sebelum mendapat pertolongan daripada pihak bomba.

“Saya berharap kecederaan yang dialami anak saya itu tidak memberi kesan sampingan dan dapat sembuh dalam masa terdekat, ” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dihubungi mengesahkan kejadian dan mereka berjaya mengeluarkan mangsa sejam kemudian.

Pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan daripada pihak pasar raya kira-kira jam 11.56 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan