Orang ramai boleh kemuka maklumat melalui laman web, kata Noor Rashid
KOTA KINABALU: Orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklumat atau masalah terhadap polis dengan terlancaranya laman web rasmi polis Sabah di http://www.sabahrmp.gov.my/pdrm.htm
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan tentang masalah mereka serta cadangan kepada polis melalui laman web ini sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris.
Pelancaran laman web itu dilakukan oleh Pesuruhjaya Polis Sabab (CP), Datuk Noor Rashid Ibrahim, di Kepayan, kelmarin.
Bercakap kepada media selepas pelancaran itu, Noor Rashid berkata laman web itu akan membolehkan hubungan antara polis dan orang ramai boleh dirapatkan lagi kerana laman web ini adalah telus.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat tentang kegiatan jenayah atau masalah mereka dan kita akan cuba jawab sebaik mungkin segala persoalan yang ditimbulkan dalam beberapa hari saja,” katanya.
Noor Rashid berkata semua maklumat ini akan ditapis dan analisis oleh Pegawai Perhubungan Awam Polis sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa atau CP untuk jawapan.
“Saya harap orang ramai akan memberikan maklum balas yang baik kepada kami kerana kami juga perlu membuat penyelidikan terhadap isu-isu tertentu sebelum menjawabnya,” katanya.
Noor Rashid berharap dengan terlancaranya laman web ramsi polis ini, polis akan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya untuk mengurangkan lima peratus jenayah tahun ini.
“Kami berharap akan dapat maklumat berharga dari laman web ini dari orang awam terutama kegiatan jenayah, di mana mereka berada, persembunyian suspek-suspek ini dan sebagainya kerana sasaran kita ialah untuk mengurangkan kegiatan jenayah,” katanya.
Beliau berkata perjumpaan di kalangan ketua-ketua jabatan, polis daerah akan diadakan untuk membincangkan tindakan perlu untuk melaksanakan pelan ini.
Noor Rashid berkata indeks jenayah yang direkodkan tahun lalu telah menurun 4.81 peratus dari keseluruhan 8,498 jenayah yang dilaporkan pada 2008 kepada 8,089 kejadian tahun lepas.
Antara langkah yang diambil ialah menugaskan anggota polis di kawasan terpencil yang akan melakukan lawatan ke beberapa sektor yang dikenal pasti untuk mendapatkan maklumat tentang kegiatan jenayah di samping mengadakan hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
Sementara itu, polis juga menasihatkan orang ramai berhati-hati dan mengelakkan dari terpengaruh dari maklumat tentang beberapa artikel yang ditulis dalam SABAHKINI.NET.
Polis sedang menyiasat beberapa artikel yang ditulis selepas menerima aduan dari mangsa.
“Setakat ini kita sudah menerima dua aduan dan siasatan sedang berjalan tentang kebenaran dari sumber itu,” kata Noor Rashid.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan artikel berbentuk fitnah itu kerana tidak mahu menjejaskan siasatan polis.
Aduan ini disiasat di bawah Akta Fitnah 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mulitmedia 1988.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan