Mahkamah Dengar Semula Kes Dakwaan Pikat Daphne Iking 19 Feb
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan kes saman peribadi berhubung dakwaan memikat model dan pengacara TV Daphne Iking disebut semula 19 Februari depan.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menetapkan tarikh itu pada Rabu setelah dimaklumkan peguam Akhbardin Abdul Kader bahawa pihak mereka masih belum menerima rekod rayuan tambahan daripada perayu, Darren Choy Khin Ming.
Choy, 44, ahli perniagaan, telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos tahun lalu terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonannya supaya kes saman peribadi itu didengar di hadapan majistret lain.
Bekas suami model itu, Ryan Chong, telah mengemukakan saman peribadi tersebut terhadap Darren kerana memikat Iking, 30, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pada Ogos tahun lepas, Majistret Mohd Faizi Che Abu telah membenarkan Chong mengemukakan saman peribadi itu setelah pihak pendakwaraya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Darren atas alasan ia merupakan isu peribadi antara suami dan isteri.
Pada 9 Dis lalu, Choy memohon supaya Majistret Mohd Faizi menarik diri daripada mendengar kesnya bagi mengelak berlaku prejudis kerana majistret tersebut telah mengambil aduan daripada Ryan sebelum ini.
Choy turut memohon untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tujuh soalan perlembagaan bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadapnya adalah sah dari segi perlembagaan.
Iking berkahwin dengan Chong, 31, pada 27 Januari, 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel Daniella, berusia dua tahun.
Pasangan itu bagaimanapun telah bercerai tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan