Khamis, Januari 21, 2010

KUIL MENGANGGARKAN LEBIH SATU RIBU PENDUDUK TEMPATAN DI DAERAH RANAU DAN TELUPID AKAN KEHILANGAN TANAH ADAT WARISAN NENEK MOYANG JIKA PEMBINAAN EMPANGAN HIDRO- ELETRIK LIWAGU DITERUSKAN.

Lembah Liwagu: Bantahan Pembinaan Empangan Hidro?

DALAM ucapan dasarnya, Pengerusi Penaja Badan Bertindak Membantah Projek Hidro Elektrik Liwagu, Kuil Madza, menekankan pihaknya perlu mencari jalan penyelesaian agar pembinaan empangan hidro letrik di Liwagu tidak diteruskan.

“Mengapa perlu kita membantah? Pada dasarnya adat, tradisi dan budaya anak negeri bukan untuk dijual beli, ia adalah warisan yang tidak ternilai harganya dan menjadi kebanggaan dan lambang kewujudan sesuatu bangsa,” ujar Kuil yang mengalu-alukan sokongan penduduk kampung untuk melaksanakan visi suci mempertahankan kampung mereka.

Ekologi lembah dan rimba Liwagu, kata Kuil, umpama persekitaran Lembah Danum dan Ngarai Imbak, iaitu Tapak Warisan Dunia yang wajib dipertahankan rakyat Sabah kerana ‘Negara Hidupan Liar’.

“Manakala di Liwagu, adalah ‘Negara Adat’ yang rakyatnya berhak ke atas tanah, flora dan fauna dan seluruh isi alam dan mempertahankan keseimbangan kehidupan manusia,” ujar Kuil yang menekankan betapa pentingnya bumi Liwagu dipertahankan daripada sebarang pencerobohan dan pembangunan yang memusnahkan ekosistem dan hidrologi.

Kata Kuil lagi, sungguhpun manusia lebih pintar daripada binatang, namun akan menemui ajal melalui kebuluran dan penyakit jika dinafikan keperluan sumber asas kehidupan.

Kuil menganggarkan lebih satu ribu penduduk tempatan di daerah Ranau dan Telupid akan kehilangan tanah adat warisan nenek moyang jika pembinaan empangan hidro- eletrik Liwagu diteruskan.

Masyarakat kampung yang tinggal di pesisiran Sungai Liwagu/Labuk sejak era British Borneo Utara membantah keras pembinaan empangan tersebut kerana tidak mahu kehilangan tanah adat yang telah diusahakan dengan tanaman yang bernilai komersial yang menjadi tempat pergantungan sumber makanan dan minuman, serta perubatan tradisional masyarakat setempat.

“Sejarah lembah dan rimba Liwagu, masih terpahat bukti-bukti peninggalan para nenek moyang dan keturunannya, bertempat di tanah perkuburan di setiap kampung. Oleh itu, kita perlu memupuk kesopanan dan kesusilaan agar tanah perkuburan ini tidak ditenggelami air,” tegas Kuil yang meminta Ketua Menteri Sabah berhenti membohongi rakyat Sabah yang semakin kehilangan tanah adat kepada orang luar yang mampu membayar dengan harga yang tinggi dan melaksanakan projek di kawasan tanah adat yang semakin pupus.

Jawatankuasa ini juga kata Kuil, mengesyorkan agar kerajaan Sabah memindahkan projek empangan tersebut ke kawasan yang lebih sesuai di mana kesan infrastruktur tersebut tidak menjejaskan hak asasi manusia seperti di kawasan sepanjang sungai Kinabatangan, dalam kawasan hutan simpan, di mana penduduknya sifar.

image“Sebaiknya Kerajaan Sabah mendesak Kerajaan Pusat untuk menyalurkan tenaga eletrik Bakun ke Sabah,” kata Kuil sebagai langkah alternatif yang boleh disegerakan.

image Bagaimanapun AJK ini bersedia untuk mengadakan perbahasan atau Forum berhubung pembinaan empangan Liwagu mengatasi atau bercanggah dengan maksud Gagasan 1MALAYSIA.

Oleh: SIBIUS CONSTANTINE (sabahkini)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan