Jumaat, Januari 08, 2010

"… INDUSTRI SURAT KHABAR NEGARA MENGHADAPI BANYAK CABARAN EKORAN KELAHIRAN PORTAL-PORTAL BERITA DAN BLOG-BLOG BARU YANG TURUT MENYAJIKAN BERITA NASIONAL TERMASUK YANG TIDAK DITERBITKAN OLEH MEDIA CETAK ARUS PERDANA,"

Kesatuan Wartawan Mahu Pemilik Media Cetak Nilai Semula Operasi

image KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berharap pemilik media cetak menilai semula operasi di sebalik penurunan edaran surat khabar.

NUJM dalam kenyataan di sini hari Khamis berkata pemilik syarikat penerbitan akhbar perlu membuat penilaian secara realistik bagi mencari punca penurunan edaran, langganan dan jumlah pembaca mereka.

NUJM berkata adalah sangat penting bagi memastikan industri persuratkhabaran negara terus relevan bagi memenuhi keperluan pembaca, pengiklanan dan pemegang kepentingan yang lain.

"Ini kerana industri surat khabar negara menghadapi banyak cabaran ekoran kelahiran portal-portal berita dan blog-blog baru yang turut menyajikan berita nasional termasuk yang tidak diterbitkan oleh media cetak arus perdana," kata NUJM.

Dengan itu, NUJM berkata pemilik akhbar harus prihatin dengan keadaan demikian dan membuat penilaian semula dengan jujur untuk memperbaiki keadaan kerana jika tidak dilakukan, ia boleh memberi kesan kepada mata pencarian wartawan, pengarang, jurufoto dan kakitangan sokongan yang lain.

"Kami juga khuatir jika pengiklan akan turut mengabaikan surat khabar arus perdana dengan beralih kepada media alternatif baru untuk memaksimumkan keuntungan perniagaan.

"Ekoran daripada keadaan itu juga, anggota NUJM akan menerima kesannya apabila pemilik syarikat akhbar tidak lagi mampu menawarkan gaji dan suasana bekerja yang baik kepada kakitangannya," kata NUJM.

*def03*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan