Seorang Mati Dan Lima Lagi Cedera Diserang Lelaki Mengamuk
SANDAKAN, 28 Jan (Bernama) -- Seorang pekerja ladang maut dan lima lagi cedera selepas diserang oleh seorang lelaki yang mengamuk di sebuah ladang kelapa sawit di Sukau Kinabatangan kira-kira 100 kilometer di sini Khamis.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rosli Mohd Isa berkata mangsa dikenali sebagai Baharun Toba, 40, warga Indonesia, mati di tempat kejadian akibat cedera parah diserang oleh lelaki yang bersenjatakan sebilah parang itu.
Katanya insiden berlaku kira-kira pukul 6 pagi dan siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati dipersendakan oleh tiga pekerja ladang yang turut tercedera dalam kejadian itu dan tinggal serumah dengannya.
Berdasarkan siasatan awal, lelaki yang mengamuk itu baru sahaja tiba di ladang itu semalam untuk mencari pekerjaan dan penyelia ladang itu kemudian memintanya bermalam di sebuah rumah pekerja bersama tiga lagi pekerja di ladang itu.
"Ketika bermalam di rumah pekerja itu, ketiga-tiga pekerja itu dipercayai mempersendakan lelaki itu dan pagi ini, mangsa bertindak menyerang ketiga-tiga lelaki itu dengan bersenjatakan sebilah parang," katanya di sini.
Katanya lelaki itu kemudian pergi ke pejabat untuk menyerang penyelia ladang dan ketika dalam perjalanan, dia terserempak dengan mangsa yang ketika itu bersama anaknya lalu bertindak menetaknya, manakala anak mangsa sempat melarikan diri.
Rosli berkata lelaki itu kemudian cuba menyerang penyelia dan seorang lagi pekerja di pejabat ladang itu lalu berlaku pergelutan di antara mereka.
Katanya lelaki itu berjaya ditangkap dan tangannya diikat sebelum diserahkan kepada anggota polis dari Balai Polis Suan Lamba, manakala penyelia itu bersama empat lagi pekerja ladang yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kinabatangan.
----
Tiada ulasan:
Catat Ulasan