Jumaat, Disember 18, 2009

"KAMI MAHU ANDA (ORANG RAMAI) BERI MAKLUM BALAS, AGAR DALAM BIDANG MANA YANG KAMI BUAT KESILAPAN, KAMI MAHU MEMBETULKANNYA,"

Kerajaan Perlu Maklum Balas Awam Berhubung NKRA

PETALING JAYA, 18 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala pada Jumaat meminta orang ramai memberikan maklum balas berhubung enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memastikan kejayaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

"Kami mahu anda (orang ramai) beri maklum balas, agar dalam bidang mana yang kami buat kesilapan, kami mahu membetulkannya," kata Idris yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) semasa pembentangan mengenai NKRA pada hari terbuka GTP di sini.

Hari terbuka GTP itu, yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, bermula semalam dan berakhir hari ini.

Idris berkata kerajaan menyedari bahawa orang ramai mempunyai banyak idea yang baik untuk dikongsi bersama mengenai enam NKRA itu.

Katanya sebaik maklumbalas itu dikumpul, ia akan dikaji oleh pasukan NKRA sebelum ia diterbitkan.

Di bawah NKRA, beliau berkata kerajaan mahu memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menambah baik pengangkutan awam, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memerangi rasuah, mengurangi kadar jenayah dan kemiskinan di negara ini.

Bagi mencapai kejayaan, beliau berkata kerajaan telah mengambil pendekatan komprehensif bagi transformasi selain berkongsi pandangan dengan orang ramai dan mendapatkan maklum balas mereka.

"Kita akan memaklumkan rakyat mengenai apa yang kerajaan akan lakukan dan hasilnya kerana GTP merupakan satu usaha bagi memacu pencapaian Wawasan 2020. Perubahan fundamental ini penting dalam usaha mencapai wawasan itu," katanya.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri hari terbuka itu termasuk orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, penjawat awam dan penulis blog.

Lebih ramai dijangka menghadiri hari terbuka itu berikutan Jumaat ialah cuti umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan