Khamis, Disember 17, 2009

GUNA KOMPUTER GANTI BUKU TEKS

KUCHING 16 Dis. - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan supaya penggunaan komputer digunakan bagi menggantikan peranan buku teks di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, ketika ini, murid terpaksa membawa terlalu banyak buku ke sekolah sehingga menyebabkan mereka mengalami sakit bahu.

See full size image''Kalau dapat, ia ditukar dengan komputer kerana ia dapat meringankan sedikit bebanan kepada anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri 2009 di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Awang Asfia Awang Nasar dan Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Julaihi Bujang.

Abdul Taib memberitahu, penggunaan teknologi juga mahukan para guru supaya menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dalam aspek pengajaran dan pembelajaran murid-murid.

Katanya, peranan guru selepas itu bukan sekadar menekankan pentingnya soal pelajaran kepada murid-murid malah membimbing mereka bagaimana cara untuk menggunakan teknologi itu.

''Dengan adanya hubungan yang rapat antara guru dan murid-murid itu, mereka (murid) akan belajar dengan sepenuh hati sehingga membawa kepada peningkatan prestasi pendidikan mereka," jelas beliau.

Sementara itu, Abdul Taib berkata, para guru perlu diberi penghormatan yang sewajarnya kerana ia akan memudahkan proses pembelajaran bagi seseorang pelajar.

''Sekiranya hilang perasaan hormat kepada guru, tumpuan pelajar kepada pembelajaran mereka akan hilang sehingga 30 peratus," tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan