70 Daripada 514 Projek Siap, 344 Sedang Dilaksanakan: JKR Sabah
KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Setakat November tahun ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menyiapkan 70 projek atau 13.6 peratus daripada 514 projek yang disenaraikan dalam program pembangunan semasa.
Pengarahnya John Anthony, Khamis berkata 344 atau 66.7 peratus daripada projek itu sedang dilaksanakan mengikut jadual, 66 (13 peratus) tertangguh dan 34 (6.7 peratus) lagi "sakit".
"Projek-projek ini termasuk jalan raya, pembinaan pembetungan, jambatan dan bangunan-bangunan sekolah, iaitu projek di bawah kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan.
"Walaupun pencapaian kami mungkin tidak 100 peratus, ia telah menunjukkan hasil yang positif. Sesetengah perbelanjaan mungkin tidak mencapai sasaran yang ditetapkan ekoran pelbagai masalah yang tidak dijangkakan sebelum ini atau di luar kawalan kami," katanya dan menurutnya semua projek berkenaan adalah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Ditanya mengenai projek "sakit" berkenaan, beliau berkata kontraktor yang tidak menjalankan projek dengan baik akan diberikan amaran dan jika mereka masih gagal melakukan pembaikan, kontrak mereka akan dibatalkan.
John berkata JKR Sabah telah menetapkan sasaran tinggi iaitu antara 85 dan 95 peratus pelaksanaan projek (siap dan sedang dilaksanakan) menjelang akhir tempoh RMK-9, berbanding dengan sasaran kebangsaan 85 peratus.
"Kami agak optimistik kerana kami masih ada setahun lagi untuk melaksanakannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan