Kastam Sabah kutip hasil RM428 juta
TAWAU 25th November, 2009: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sabah berjaya mengutip hasil berjumlah RM428 juta antara Januari lepas sehingga semalam, yang merupakan peningkatan RM72 juta atau 16 peratus lebih tinggi berbanding kutipan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Md Yusop Mansor, berkata kejayaan itu merupakan hasil kerja kuat dan dedikasi anggota KDRM Sabah serta kecekapan petugas agensi berkenaan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Angka ini menunjukkan bahawa kami sudah memintas Wilayah Persekutuan dari segi hasil kutipan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis malam mesra sempena penutupan Patroli Kordinasi Kastam Malaysia–Indonesia Borneo ke-8, di sini kelmarin.
Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu Md Yusop berkata peningkatan hasil kutipan KDRM Sabah saban tahun itu juga menandakan keyakinan tinggi ahli-ahli perniagaan dalam dan luar negara terhadap keupayaan KDRM menjaga kepentingan perniagaan mereka.
Sementara itu Ketua Kantor Wilayah Derektoran Jeneral Bea & Cukai Bahagian Kalimantan Timur, Nassir Adenan, pula berkata masih banyak aspek yang boleh diperbaiki dalam konteks kerjasama antara Kastam Malaysia dan Indonesia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Ketua Pengarah KDRM, Datuk Md Hassim Pardi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan