LAHAD DATU, 2 Okt (Bernama) -- Polis di sini percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun dan curi di daerah ini selepas menembak mati seorang penjenayah warga Filipina, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Md. Suhaimi Ab. Rahman berkata penjenayah yang dikenali sebagai Kassan, 33, ditembak selepas menyerang seorang anggota polis yang cuba menahannya, menggunakan parang di kawasan Kampung Pisang, kira-kira jam 5 petang.
Katanya sebelum kejadian, tiga anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar bandar berkenaan lalu terserempak dengan dua lelaki berkelakuan mencurigakan.
"Polis kemudian melakukan intipan ke atas dua lelaki tersebut dan apabila salah seorang daripadanya menyedari mereka sedang diperhati, penjenayah berkenaan bertindak menahan kereta yang lalu lalang dipercayai cuba melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Oleh kerana tidak ada kereta yang mahu berhenti, polis yang mengejar mereka terus mengepung kedua-dua penjenayah berkenaan sebelum berlaku pergelutan apabila salah seorang penjenayah itu menyerang polis menggunakan parang dan kerambit.
Katanya dalam pergelutan berkenaan, polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai bahagian sebelah kanan dada suspek menyebabkan suspek mati di tempat kejadian.
Dalam pergelutan itu, seorang anggota polis turut cedera manakala seorang lagi suspek berjaya melepaskan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan